KELOMPOK burung Flamingo atau Phoenicopterus di Zoo Negara.
KELOMPOK burung Flamingo atau Phoenicopterus di Zoo Negara.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Asmah Rusman dan Siti Farahiyah Aziz


Kuala Lumpur: Sedar atau tidak, kepelbagaian hidupan liar di hutan negara ini semakin berkurangan dan diancam kepupusan berterusan.

Jika dibiarkan tanpa sebarang tindakan, tidak mustahil spesies berkenaan terus pupus dan tidak lagi ditemui di hutan negara ini dalam jangka masa panjang.

Maka, tiada apa yang mampu diwarisi generasi akan datang sebaliknya mereka hanya melihat haiwan berkenaan di zoo mahupun pusat perlindungan saja.

Terdapat beberapa spesies hidupan liar yang dikatakan sudah pupus dan tidak lagi ditemui di habitat asalnya di hutan simpan kekal mahu pun taman negara di Malaysia seperti banteng, badak Jawa, burung merak hijau dan kucing batu.

Selain itu, spesies seperti gajah, badak Sumatra, tapir, harimau Malaya, beruang matahari dan kambing gurun pula kini di ambang kepupusan dan sukar ditemui di habitat semula jadi.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia Abdul Kadir Abu Hashim, terdapat dua tahap perlindungan hidupan liar mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Jadual pertama mengandungi spesies hidupan liar yang dilindungi manakala jadual kedua ialah senarai spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya seperti banteng, badak jawa dan merak hijau.

“Selain masalah kehilangan habitat asal dan penerokaan hutan, kepupusan hidupan liar di negara ini juga berpunca daripada aktiviti pemburuan haram dan penyeludupan oleh individu tidak bertanggungjawab yang ingin mengaut keuntungan mudah,” katanya.

Katanya, perkembangan teknologi pada hari ini turut membuka ruang kepada sindiket berkenaan menjual dan mengiklan aktiviti haram mereka melalui media sosial seperti Facebook.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti lebih 30 akaun Facebook yang digunakan untuk jual beli hidupan liar dilindungi antara yang terkenal adalah ‘peminat haiwan eksotik Melayu’.

“Setakat ini sebanyak 54 peniaga dalam talian dan pembeli ditahan, 67 hidupan liar dilindungi berjaya diselamatkan antaranya kucing batu, burung hantu (Buho Sumatranus), binturong (Artictis Binturong) dan kongkang,” katanya.

Katanya, mengikut prosedur PERHILITAN, tangkapan membabitkan gajah akan dihantar dan dirujuk kepada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKPG) Kuala Gandah, Pahang, namun ada juga gajah liar yang dibebaskan ke Taman Negara Kuala Tahan.

“Kes terbaru membabitkan penemuan harimau dahan di Jerantut, Pahang, haiwan itu dibebaskan ke Hutan Rizab Hidupan Liar Krau manakala tapir pula dilepaskan ke Taman Negara Sungai Relau, Merapoh, Pahang.

“Bagaimanapun, jika haiwan dirampas itu didapati diseksa atau dicederakan pemburu haram, haiwan itu akan dirawat di Ibu Pejabat PERHILITAN Cheras atau dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak,” katanya.

Komitmen Malaysia dalam menangani aktiviti penyeludupan dan pencerobohan hidupan liar terbukti apabila isu berkenaan buat julung kali dimasukkan dalam agenda Persidangan Polis ASEAN (ASEANAPOL) ke-36, di sini, Julai lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, buat julung kali jenayah berkenaan dimasukkan dalam agenda persidangan dan ia adalah hasil cadangan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, wujud banyak petanda dan bukti yang menunjukkan pembabitan rangkaian jenayah terancang dalam pencerobohan, pemprosesan, penyeludupan dan pemerdagangan haiwan liar serta produknya.

“Jenayah rentas sempadan ini dilakukan menggunakan teknik yang sofistikated dan pembabitan rasuah serta penggubahan wang haram turut menjadi kombinasi dalam jenayah ini.

“Kami juga mendapati jenayah ini mengakibatkan kerugian aset semula jadi kepada negara membangun selain penyebaran virus Ebola dan selsema burung,” katanya dalam persidangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 9:59 AM