KHEMAH dipercayai dibina pemburu haram.
KHEMAH dipercayai dibina pemburu haram.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Bela, tangkap atau jual. Semua tindakan itu tetap membawa 'bala' kepada peminat beberapa jenis spesies burung tempatan yang dilindungi.

Ini dibuktikan apabila pemilikan seekor anak burung murai batu sudah cukup untuk mengheret individu terbabit ke mahkamah dan dihukum denda RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 ( Akta 716)

Hukuman berat diwartakan ini jelas tidak berbaloi kepada 'kaki burung' yang menjadikan aktiviti membela burung 'terlarang' ini sebagai hobi.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya memandang serius sebarang tindakan membela, menangkap atau menyeludup burung spesies tempatan dilakukan secara aktif dan agresif.

Beliau berkata, hukuman terhadap individu yang membela burung dilindungi atau pemburu haram burung adalah sama.

"Berdasarkan perangkaan diperoleh, spesies burung murai batu, kelicap kunyit, serindit dan parrot paling banyak ditangkap dan miliki secara haram oleh rakyat tempatan.

SUSPEK dipercayai menangkap burung dilindungi yang ditahan.
SUSPEK dipercayai menangkap burung dilindungi yang ditahan.

"Bagi tempoh Januari hingga Mac lalu, sebanyak 341 burung murai batu dirampas Perhilitan diikuti 21 ekor kelicap kunyit, serindit (38) dan parrot (16). Manakala sepanjang tahun lalu, 2,356 burung murai batu dirampas diikuti kelicap kunyit (108 ekor), serindit (159) dan parrot (45 ekor)," katanya.

Kadir berkata, selain empat spesies burung 'popular' ini, pihaknya turut mengambil tindakan merampas dan pendakwaan mahkamah terhadap individu yang memiliki pelbagai spesies burung lain dilindungi.

"Berdasarkan statistik itu, Perhilitan menyeru masyarakat membantu negara memastikan khazanah negara terutama hidupan liar serta unggas terpelihara.

"Beri ruang dan peluang kepada burung liar ini untuk hidupan bebas, berpasangan dan membiak di habitat asal. Memburu, merosakkan sarang atau telur dan menjebak burung tanpa kelulusan (lesen/permit khas) adalah satu jenayah hidupan liar.

"Individu ditahan boleh dihadapkan ke mahkamah dan apabila disabitkan, boleh dihukum dengan denda sehingga RM100,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun bergantung kepada spesies," katanya.

ANTARA spesies burung dilindungi yang dirampas Perhilitan.
ANTARA spesies burung dilindungi yang dirampas Perhilitan.

Beliau berkata, Perhilitan komited dalam memulihara dan melindungi hidupan liar negara bagi memastikan kelangsungan hidupan liar untuk generasi akan datang.

"Hidupan liar termasuk pelbagai unggas burung adalah khazanah tidak ternilai. Antara usaha yang dilaksanakan Perhilitan adalah melalui program penguatkuasaan bersepadu bersama agensi lain.

"Program Perlindungan Biodiversiti dan Rondaan / Biodiversity Protection & Patrolling Programme (BP3) adalah insiatif Jabatan dalam memastikan kelangsungan hidupan liar dan menangani kes-kes jenayah hidupan liar.

"Objektif utama BP3 adalah membanteras pencerobohan habitat, pemasangan jerat, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar oleh warga negara tempatan dan asing serta sindiket jenayah hidupan liar terancang di dalam kawasan perlindungan Perhilitan serta Hutan Simpanan Kekal (HSK)," katanya.

INFOGRAFIK
INFOGRAFIK

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 7:10 AM