Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Seawal jam 7 pagi tadi, penduduk sekitar Shah Alam dan Klang beratur bagi mendapatkan bekalan air di Pusat Khidmat Setempat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang dibuka di hadapan Dewan Bola Tampar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 4 di sini.

Ini susulan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang selepas Sungai Selangor dicemari pelarut yang dibuang oleh kilang tidak bertanggungjawab.

Tinjauan di lokasi di Jalan Durian, 4/1 itu mendapati, ada penduduk berulang-alik mengambil air lebih sekali bagi menampung keperluan isi rumah yang ramai.

Seorang penduduk dari Meru, Klang, Shaparin Abdul Rahim, 32, ke lokasi untuk mendapatkan bekalan air sebaik mendapat maklumat bekalan air disalurkan di lokasi itu menerusi aplikasi Air Selangor dan WhatsApp.

"Kebetulan saya dengan keluarga berada di Hospital Shah Alam, selesai urusan di hospital, saya terus datang ke sini.

"Di rumah kami, sejak jam 12 tengah hari semalam tiada air, sebelum dapat tahu tempat ini, kami beli air mineral dengan jumlah yang banyak untuk kegunaan terutamanya minum, semua makanan beli sahaja.

"Saya harap kerajaan lebih prihatin dengan perkara ini, gazetkan laluan laluan sungai supaya kilang tidak sesuka hati dibina di kawasan berkenaan kerana ia memberi kesan jangka panjang kepada penduduk," katanya ditemui.

Sementara itu, Mogan Dhas Giri, 39, dari Seksyen 23 kecewa dengan kerajaan negeri memandangkan isu air di Selangor kerap berlaku.

"Saya kecewa sebab kerap sangat berlaku masalah bekalan air di Selangor. Kerajaan negeri perlu lebih tegas terutamanya penguatkuasaan di premis kilang haram. Ambil tindakan tegas kepada kilang terbabit," katanya.

Seorang lagi penduduk, Al Basir Sarip Basal, 34, dari Seksyen 24, beratur sejak jam 12 tengah hari untuk mendapatkan bekalan air bagi kegunaannya enam beranak.

"Bekalan air terhenti sejak jam 8 malam tadi, semalam ,saya beli air mineral untuk keluarga sebelum dapat tahu tempat agihan air ini menerusi aplikasi Air Selangor," katanya.

Difahamkan, dua tangki yang mampu menampung 500 liter air setiap satu disediakan sejak jam 5 petang semalam.

Bagaimanapun, penduduk mula beratur mendapatkan bekalan air di tempat agihan itu sejak pagi tadi.

Suasana di Pusat Khidmat Setempat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang dibuka di hadapan Dewan Bola Tampar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 4. FOTO RUWAIDA MD ZAIN
Suasana di Pusat Khidmat Setempat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang dibuka di hadapan Dewan Bola Tampar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 4. FOTO RUWAIDA MD ZAIN

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 5:01 PM