ORANG ramai membeli bekas mengisi air sebagai persediaan menghadapi bekalan terputus.
ORANG ramai membeli bekas mengisi air sebagai persediaan menghadapi bekalan terputus.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SYARIKAT pembekal air diminta mempertimbangkan rebat kepada peniaga khususnya sektor makanan yang terjejas akibat ketiadaan air bermula esok.

Setiausaha Agung Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKMWP), Sharin Darus berkata, cadangan itu mampu mengurangkan kos kerugian peniaga kerana berdepan masalah operasi sepanjang krisis.

Menurutnya, rebat berkenaan boleh diberi pada bayaran bulanan bagi April sekali gus memberikan kelegaan kepada peniaga kecil kerana ada diantara mereka perlu menghentikan operasi sementara.

“Cadangan pemberian rebat ini adil kepada peniaga kerana ada antara mereka perlu menghentikan operasi memandangkan air keperluan utama.

“Jika cadangan ini dipertimbangkan, peniaga yang terjejas pasti lega dan ia adalah situasi menang-menang untuk pembekal perkhidmatan dan peniaga,” katanya.

Untuk rekod, PPPKMWP mempunyai lebih 50,000 ahli dan separuh daripada jumlah itu menjalankan perniagaan makanan manakala selebihnya barang keperluan harian.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kejiranan Bukit Baru, Nurrizal Ahmad Imran berkata, syarikat pembekal air digesa menempatkan tangki simpanan air statik di kawasan terjejas bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan sepanjang tempoh krisis.

SHARIN DARUS
SHARIN DARUS

Menurutnya, kemudahan sementara itu perlu kerana majoriti penduduk adalah golongan bekerja dan berada di rumah selepas jam 5 petang tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada lori tangki membekalkan air hanya pada waktu tertentu.

“Pangsapuri Bukit Baru di Keramat setinggi 21 tingkat dihuni 2,500 penduduk dan pasti sepanjang krisis air selama 86 jam ini ramai yang beratur panjang untuk mendapatkan bekalan selain perlu menunggu lif.

“Jika tangki air statik disediakan, penduduk tidak perlu tunggu giliran terlalu lama untuk mendapatkan bekalan air daripada lori tangki,” katanya.

Gangguan bekalan air dijangka berlaku di Kuala Lumpur, Klang, Petaling, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor susulan kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2).

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) perlu melaksanakan segera kerja penyelenggaraan itu bagi mencegah sebarang kerosakan atau risiko kegagalan sistem elektrik sekali gus mengelak gangguan bekalan air tidak terancang kepada pengguna.

Henti tugas LRA SSP2 menyebabkan gangguan bekalan air hingga 86 jam kepada 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan akan terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 6:01 AM