BERNAMA

Kuala Lumpur: Bacaan pencemaran bau di Sungai Selangor masih tidak konsisten pada tahap 0 TON menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang belum boleh beroperasi ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Suhaimi Kamaralzaman berkata sehingga 2 petang tadi, bacaan itu diuji tiga kali berturut-turut di empat loji tersebut berikutan insiden pencemaran air mentah di Sungai Selangor.

"Henti tugas ini menyebabkan Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 2,700 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada pengguna di 1,292 kawasan. Air Selangor akan mengumumkan jadual pemulihan apabila loji sudah mula beroperasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya sudah menggerakkan 91 lori tangki air ke premis kritikal serta kawasan perumahan terjejas, selain 34 tangki statik, 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 21 pili awam juga disediakan untuk kemudahan pengguna yang terjejas.

"Pengguna disarankan untuk mengambil bekalan air bersih di pili awam kerana bantuan melalui lori tangki air diutamakan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

"Air Selangor menasihatkan pengguna mematuhi peraturan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki dan pili awam yang disediakan," katanya.

PENDUDUK mengambil air di pili awam di Taman Sri Manja, Petaling Jaya berikutan loji rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas susulan insiden pencemaran air di Sungai Selangor. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
PENDUDUK mengambil air di pili awam di Taman Sri Manja, Petaling Jaya berikutan loji rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas susulan insiden pencemaran air di Sungai Selangor. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman web rasminya www.airselangor.com

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 6:57 PM