MANGSA ditemui mati di Kampung Berangan Hujung akibat dirempuh kereta api, semalam.
MANGSA ditemui mati di Kampung Berangan Hujung akibat dirempuh kereta api, semalam.

Tumpat: “Selang 20 hari emak, Che Esah Che Jaafar, 77, meninggal dunia akibat sakit jantung, hari ini (semalam) abang pula menyusul,” kata Che Rahmah Abdullah, 40, adik tiri kepada seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dirempuh kereta api di Kampung Berangan Hujung di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, mangsa, Wan Zain Wan Abdul Rahman, 55, dikatakan melintas landasan kereta api berkenaan untuk ke kedai kopi namun diseret kereta api sejauh kira-kira 30 meter.

Bagaimanapun, dia yang OKU cacat pendengaran dan bisu dikatakan tidak mendengar hon dibunyikan oleh pemandu kereta api terbabit dan dirempuh.

Che Rahmah berkata, arwah sebelum itu keluar daripada rumah mereka di kampung itu secara tergesa-gesa tanpa sempat mandi dan menukar pakaian.

“Dia jarang keluar tanpa bersiap terlebih dahulu. Selalunya saya akan bantu dia tapi, pagi tadi (semalam), selepas bangun daripada tidur, dia terus keluar rumah.

“Saya jerit memanggilnya beberapa kali untuk mandi, tapi dia tidak hiraukan. Tidak lama kemudian, saya mendengar bunyi hon panjang kereta api yang dalam perjalanan ke Tumpat dari Stesen Wakaf Bharu.

“Hati terdetik sesuatu buruk berlaku, tapi saya memang tidak menyangka hon itu kerana abang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Che Rahmah berkata, dia menerima panggilan telefon daripada ahli keluarga kira-kira 10 pagi memaklumkan bahawa abangnya meninggal dunia akibat dilanggar kereta api.

“Sedih apabila mengenangkan kejadian ini. Namun saya reda kerana sudah takdirnya begitu. Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Belukar Berangan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Wilayah Timur Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Zaid Ibrahim ketika dihubungi berkata, tren terbabit yang sepatutnya tiba di Stesen Tumpat pada jam 9.45 pagi terpaksa ditangguhkan kira-kira sejam berikutan kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 5:52 AM