FOTO Mohd Hafizee Mohd Arop
FOTO Mohd Hafizee Mohd Arop
Mohd Hafizee Mohd Arop


SERATUS dua puluh lembu, 700 kambing dan tiga unta akan diagihkan sempena program Misi Ibadah Korban Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) di 16 negara.

Presidennya, Zulkifli Wahijan, berkata negara yang terbabit dalam misi ibadah korban adalah Malaysia, Sudan, Kemboja, Indonesia, Sri Lanka, Nepal, Filipina, Jordan, Syria, Turki, Palestin, Mesir, Yaman, Poland, Chad dan Gambia.

Katanya, pihaknya sudah membahagikan tugasan kepada EXCO dan sukarelawan Muslim Care untuk ke negara berkenaan bagi melihat sendiri ibadah itu yang disumbangkan rakyat negara ini.

"Sudan diberikan tumpuan kerana majoriti rakyatnya hidup dalam kemiskinan dan kita akan menjalankan ibadah Korban di empat kampung membabitkan 8,000 penduduk," katanya di KLIA Sepang sebaik melepaskan wakil Muslim Care ke Kemboja, hari ini.

Zulkifli serta kumpulan ke Khartoum, Sudan, dan berlepas pada kira-kira 10 pagi ini.

Menurutnya, empat kampung yang dipilih di Sudan ialah Kampung Waddul Jahiz dan Kampung Siklah yang terletak di Khartoum manakala dua lagi iaitu Kampung AlFatha dan Kampung Mahala terletak di kawasan pedalaman dengan jarak masa perjalanan tiga jam.

Katanya, dua kampung yang terletak di kawasan pedalaman memerlukan permit kebenaran dari pihak berkuasa negara berkenaan dan terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk ke kawasan itu.

"Pihak Muslim Care berharap rakyat di negara ini dapat mendoakan supaya misi dijalankan untuk tahun ini lancar sekaligus dapat membantu penduduk negara itu yang hidup dalam kedaifan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2017 @ 8:54 AM