ANGGOTA bomba mengangkat penunggang motosikal yang maut selepas tercampak ke dalam longkang.
ANGGOTA bomba mengangkat penunggang motosikal yang maut selepas tercampak ke dalam longkang.

Serdang: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabas sendiri di simpang empat Bandar Kinrara, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia lingkungan 30 tahun bersama seorang lagi rakannya dalam perjalanan dari arah Kinrara 1 ke Kinrara 6.

Bagaimanapun, ketika menuruni bukit dan melepasi lampu isyarat untuk membelok ke kanan, motosikal itu hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang jalan.

Akibat daripada kejadian itu, kedua-dua mangsa tercampak masuk ke dalam longkang besar setinggi kira-kira lima meter.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 12.40 tengah hari sebelum mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi polis mendapati penunggang motosikal sudah meninggal dunia manakala pembonceng dihantar ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat dan mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

“Hasil siasatan awal juga mendapati kedua-dua mangsa tidak memakai topi keledar semasa kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Megat Mohd Aminuddin berkata, ketika kejadian cuaca cerah dan keadaan trafik lancar.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sehubungan itu, beliau meminta saksi kejadian supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 10:58 AM