Puchong: Dua lelaki menjadi buruan polis selepas video memaparkan mereka sedang mencuri sebuah motosikal di hadapan sebuah premis di Pusat Perniagaan Perindustrian Kinrara, Bandar Kinrara, di sini, menjadi tular di laman sosial.
Kejadian dipercayai berlaku jam 9 pagi kelmarin, selepas pemilik motosikal model Yamaha LC itu meninggalkan kenderaan itu di lokasi kejadian.
Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah premis berdurasi satu minit 37 saat itu memaparkan dua lelaki menaiki sebuah motosikal melalui lokasi sebelum dilihat berpatah balik.
Kedua-dua suspek masing-masing memakai baju merah dan hitam berhenti di tempat motosikal diletakkan dan berpura-pura berborak di hadapan premis itu.
Dalam masa sama, kedua-dua mereka dilihat memantau keadaan sekeliling sebelum suspek menolak motosikal mangsa keluar dari parkir.
Pembonceng motosikal kemudian melutut di tayar hadapan motosikal sebelum dikesan membuka kunci motosikal dan beredar.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata, pemilik motosikal yang juga pekerja sebuah kedai serbaneka sudah membuat laporan berhubung kejadian itu.
“Usaha menjejaki suspek sedang dilakukan memandangkan nombor pendaftaran motosikal suspek tidak jelas dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan,” katanya.