Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Mayat lelaki dengan kesan tembakan di kepala dan belakang badan ditemui di kawasan tempat letak kereta Pangsapuri Suria, Taman Kinrara, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam yang memaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa berusia 33 tahun itu kira-kira 1 pagi.

"Hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika mangsa sedang berjalan menuju ke rumahnya di sebuah blok bangunan pangsapuri berkenaan selepas meletak kenderaan di kawasan berhampiran.

"Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemui lima kelongsong peluru. Suspek dipercayai menggunakan pistol semi auto," katanya dalam satu kenyataan.

Megat berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 7:52 PM