Petugas muassasah  menyiapkan kemudahan di Arafah menjelang Hari Wukuf.
Petugas muassasah menyiapkan kemudahan di Arafah menjelang Hari Wukuf.
SYED Saleh bersama rombongan pegawai TH meninjau persiapan khemah di Mina.
SYED Saleh bersama rombongan pegawai TH meninjau persiapan khemah di Mina.
Safar Ahmad

Makkah: Persiapan untuk Operasi Masya’ir (Arafah, Mudzalifah dan Mina) yang berbaki 11 hari lagi sebelum Hari Wukuf kini mencapai tahap 20 peratus.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pasukan Operasi Masya’ir Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa bekerja rapat dengan pihak muassasah dan persiapan berjalan lancar mengikut jadual ditetapkan.

“Setiap hari pasukan kita berada di medan untuk meninjau persiapan.

“Pada hari ini (semalam) kita tinjau tapak perkhemahan di Arafah, Mudzalifah dan Mina serta tempat melontar di Kompleks Jamrah dan perkembangan persiapan mengikut seperti yang dirancang,” katanya ketika melawat tapak Operasi Masya’ir, semalam.

Hadir sama, timbalan beliau Nurrinanuwar Shamsuddin dan Dr Saiful Azlan Sharif.

Syed Saleh berkata, khemah untuk penginapan jemaah di Arafah mula dinaikkan dan dilengkapi dengan kemudahan bekalan elektrik dan air yang dijangka dapat disiapkan sebelum 2 atau 3 Zulhijjah ini.

“Di Mina persiapan juga berjalan dan ada khemah yang menjalani proses penukaran sistem pendingin hawa baru, manakala kerja pembersihan khemah dilakukan pihak muassasah.

“Kita juga dimaklumkan tempat melontar untuk tahun ini juga ditetapkan di lokasi sama iaitu di tingkat tiga, begitu juga tapak khemah di Arafah, Mudzalifah dan Mina tempat sama seperti tahun lalu,” katanya.

Menurut beliau, penetapan lokasi itu memudahkan pihak TH dan muassasah membuat perancangan dan persiapan.

Katanya, kedudukan khemah jemaah haji Malaysia berhampiran sempadan keluar laluan bas turut memudahkan pergerakan bas dari Arafah, Mudzalifah dan Mina.

“Kita masih mempunyai masa lagi sebelum Hari Wukuf dan masa itu memadai untuk kita menyiapkan prasarana untuk jemaah haji tahun ini.

“Walaupun cuaca tidak menentu kebelakangan ini, kita harap ia tidak menjejaskan persiapan kita secara keseluruhannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 9:51 AM