RAKAMAN CCTV  menyaksikan seorang lelaki mencuri televisyen di sebuah kedai elektrik di Jalan Urat Mata 2, Kuching, kelmarin.
RAKAMAN CCTV menyaksikan seorang lelaki mencuri televisyen di sebuah kedai elektrik di Jalan Urat Mata 2, Kuching, kelmarin.

Kuching: Perbuatan mencurigakan dua lelaki yang membawa sebuah televisyen bersaiz 50 inci dengan menaiki motosikal yang diviralkan dalam laman sosial, berjaya membongkar kes kecurian di sebuah kedai elektrik di Jalan Urat Mata 2, di sini, kelmarin.

Bukan saja gambar kedua-dua lelaki itu membawa televisyen berkenaan tersebar di media sosial, malah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seorang daripada lelaki terbabit melarikan televisyen berkenaan di kedai elektrik berkenaan turut disebarkan.

Tindakan pantas polis diketuai Sub Inspektor Simon Loh menjejaki kedua-dua suspek akhirnya berjaya menemui semula televisyen itu yang disembunyikan di sebuah rumah di Kampung Samariang Pinggir, Petra Jaya.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, polis dapat mengesan kedudukan kedua-dua suspek dan mendapati mereka menyembunyikan televisyen itu di rumah rakan mereka.

“Bagaimanapun, ketika serbuan jam 10 pagi itu, kedua-dua suspek yang berusia 20-an itu tiada di rumah berkenaan dan polis masih memburu mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 10:37 AM