Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah (dua dari kanan) dan timbalannya Superintendan Merbin Lisa menunjukkan senjata yang dirampas dari kedua-dua suspek. FOTO MOHD ROJI KAWI
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah (dua dari kanan) dan timbalannya Superintendan Merbin Lisa menunjukkan senjata yang dirampas dari kedua-dua suspek. FOTO MOHD ROJI KAWI
Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Dua lelaki, dengan seorang daripadanya dilihat mengacukan senapang ke arah individu dalam rakaman video yang tular di laman Facebook sejak kelmarin, ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kedua-dua suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Dato Muhd Musa, Samarahan, jam 5.30 petang.

Mereka ditahan dalam tempoh 24 jam selepas laporan mengenainya diterima.

Beliau berkata, sebaik ditahan, kedua-dua suspek yang berusia 19 dan 25 tahun itu kemudiannya mengaku mereka adalah individu yang membawa senapang dan parang di dalam video berkenaan.

"Susulan tangkapan, kami merampas selaras senapang patah jenis Winchester 12 Bore dan sebilah parang panjang daripada kedua-dua suspek.

"Turut dirampas pakaian yang kedua-duanya pakai dalam rakaman video itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di sini, hari ini.

Ahsmon berkata, hasil siasatan awal mendapati, kejadian yang berlaku di Tabuan Dayak berpunca apabila suspek tidak berpuas hati dengan majikan lamanya berkaitan hutang pinjaman kenderaan.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenalpasti adakah individu yang merakam video itu adalah majikan lama suspek.

"Polis juga masih menyiasat siapa pemilik sebenar senapang berkenaan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana membawa senjata tanpa permit di tempat awam dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana membawa senjata merbahaya di tempat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 3:43 PM