RAMLI  menunjukkan pokok durian yang tumbang hampir menimpa dapur rumahnya.
RAMLI menunjukkan pokok durian yang tumbang hampir menimpa dapur rumahnya.

Marang: Awan hitam dan angin kencang menumbangkan sebatang pokok durian sebesar pemeluk hampir menimpa rumah pasangan warga emas di Kampung Padan Leban di sini, petang kelmarin.

Ketika kejadian jam 6.30 petang, sepasang warga emas berehat di ruang tamu dan ketika itu juga angin bertiup kencang.

Ramli Jusof, 80, yang juga penjual sate berhampiran rumahnya berkata, dia melihat angin seolah-olah dalam keadaan bergulung dan awan hitam menuju ke rumahnya sebelum sebatang pokok tumbang.

“Pada mulanya kami menyangkakan bunyi yang menghentam tanah itu adalah bunyi durian gugur, tetapi selepas isteri mengarah saya pergi tengok didapati ia pokok durian yang tumbang dan nyaris menghempap bumbung di rumah,” katanya.

Menurutnya, akibat kejadian itu bumbung bahagian kiri rumah mereka mengalami sedikit kerosakan selepas terkena dahan pokok durian.

Katanya, dia bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu dan juga rumah tidak rosak teruk serta kerugian dialami tidak besar.

Sementara itu, pihak pengurusan kampung, penduduk sekitar bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Marang membantu memotong dahan pokok dan membersihkan kawasan berkenaan sejurus selepas kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 5:23 AM