Syaherah Mustafa


“LULUH hati saya apabila melihat separuh rumah pusaka ini musnah,” kata Nor Azman Yusof, 46, selepas rumah pusaka miliknya di Kampung Gual Tualang, Lubok Stol, Rantau Panjang rosak teruk akibat dihempap pokok durian susulan hujan lebat dan ribut, semalam.

Nor Azman berkata, dia mengetahui kejadian selepas pulang dari kebun di Kampung Telaga Mas, pada 4 petang.

Katanya, ruang tamu rumah pusaka itu rosak teruk selepas dihempap pokok durian dianggarkan berusia 40 tahun.

“Ketika di kebun, saya berasa tidak sedap hati selepas memikirkan kedudukan rumah yang dikelilingi banyak pokok besar, tak sangka kebimbangan saya itu benar-benar berlaku.

“Saya menunggu penduduk kampung untuk bergotong-royong bagi mengalihkan pokok ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Kejadian hujan lebat dan ribut semalam turut menyebabkan 10 kediaman lain di kampung itu terjejas.

Sementara itu, jiran mangsa, Abdullah Idris, 50, berkata ketika kejadian dia bersama isteri Normah Mahmud, 40, menumpang berteduh di beranda rumah Nor Azman.

NOR Azman melihat keadaan rumahnya yang dihempap pokok durian. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
NOR Azman melihat keadaan rumahnya yang dihempap pokok durian. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

“Terdahulu bumbung rumah kami beberapa kali dihempap dahan pokok yang patah akibat ribut, jadi kerana risaukan keselamatan diri kami berteduh di rumah Nor Azman.

“Tiba-tiba kami mendengar dentuman kuat, rupa-rupanya pokok durian itu tumbang dan menghempap rumah Nor Azman.

“Isteri yang ketakutan melarikan diri namun dia terjatuh mengakibatkan kakinya cedera dan pengsan sejurus kemudian,” katanya.

Katanya, keadaan ketika itu amat cemas berikutan tiupan angin kencang dan bunyi guruh berlarutan selama 10 minit sebelum reda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 5:38 PM