Keadaan rumah penduduk di Kampung Garok,Selama yang rosak dibadai ribut semalam. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Keadaan rumah penduduk di Kampung Garok,Selama yang rosak dibadai ribut semalam. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Larut: "Awan tiba-tiba gelap sebelum berarak dalam keadaan bergulung seperti ombak sebelum membadai rumah kami," kata Samiah Abdullah.

Samiah, 56, menceritakan kembali kejadian ribut yang merosakkan kediaman rumahnya dan penduduk di Kampung Garok, Selama dekat sini, semalam.

Menurut Samiah, ia berlaku jam 3.20 petang ketika dia sedang menjahit pakaian manakala ahli keluarga lain sedang berehat di ruang tamu.

"Pada mulanya, hujan melanda sebelum berlaku dentuman. Saya intai daripada celahan tingkap dan mendapati awan hitam sedang berarak.

"Tidak lama kemudian, rumah saya dilanda ribut sehingga menerbangkan bumbung sejauh kira-kira 50 meter," katanya ditemui.

Menurutnya, kesemua barangan, termasuk barangan elektrik, rosak dan dia mengalami kerugian kira-kira RM20,000.

Seorang lagi mangsa, Roshasniza Sulaiman, 57, berkata, dia sedang berbaring apabila rumahnya dibadai ribut yang turut menerbangkan bumbung kediaman.

"Saya tergamam melihat bumbung diterbangkan ribut. Syukur kerana kipas siling yang jatuh tidak menimpa saya," katanya.

Tinjauan di kampung berkenaan mendapati, beberapa pokok besar turut tumbang dipukul angin ribut.

Di fahamkan, setakat jam 12 tengah hari tadi, 35 rumah terjejas akibat ribut membabitkan 20 di Kampung Garok, dua di Kampung Sungai Berdarah dan 13 di Kampung Damak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 4:49 PM