DR Mahathir bersama barisan pemimpin pembangkang pada sidang media, semalam.
DR Mahathir bersama barisan pemimpin pembangkang pada sidang media, semalam.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Satu parti baharu akan ditubuhkan kelak untuk bergabung antaranya dengan DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) bagi membentuk pakatan baharu dalam usaha pembangkang menyusun strategi merealisasikan impian memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pakatan itu akan bergerak sebagai badan tertinggi untuk menjalankan tugas bagi menjayakan usaha memenangi pilihan raya itu dan gerak kerja bermula sekarang hingga selepas pilihan raya.

Katanya, pakatan baharu itu boleh disertai sesiapa saja termasuk parti pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu.

“Berikutan itu, satu parti baharu akan ditubuhkan dalam masa terdekat, namun namanya belum ditetapkan dan ia akan diumumkan kemudian.

“Menerusi pakatan ini, semua pemimpin pembangkang akan bekerjasama dan mengetepikan sebarang perbezaan (politik) antara kita, perjuangan utama kita tertumpu kepada mencapai kemenangan dan membentuk kerajaan baharu bagi negara ini,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Terdahulu, Dr Mahathir dan kumpulan pemimpin berkenaan mengadakan perbincangan lebih tiga jam di Yayasan Kepimpinan Perdana (YPP) di Presint 8, di sini.

Turut hadir, bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Md Akin, Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub dan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan.

“Saya juga akan menjadi orang pertama yang akan menyertai parti baharu itu, tetapi tidak semestinya sebagai Presiden,” katanya.

Beliau berkata, individu turut berminat menyertai parti baharu itu termasuk bekas Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohd Shafie dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 10:22 AM