Ahmad Zahid pada sesi pleno pertama ‘Two Decades of Partnership: Taking Stock and Looking Ahead’ di Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) Ke-11 di Mongolia,  semalam.
Ahmad Zahid pada sesi pleno pertama ‘Two Decades of Partnership: Taking Stock and Looking Ahead’ di Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) Ke-11 di Mongolia, semalam.
BERNAMA

Ulaanbaatar, Mongolia: Barisan Nasional (BN) dan UMNO sedia berhadapan dengan mana-mana parti baru atau pakatan pembangkang kerana yakin ia semakin kukuh dan masih mendapat sokongan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sudah meminta parti komponen BN merapatkan barisan dan menghadapi apa juga cabaran, sama ada daripada parti pembangkang sedia ada atau yang baru.

“Kami mahu BN terus kukuh, menang dan jadi kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 nanti,” katanya ketika diminta mengulas pengumuman penubuhan parti baru oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis.

Menurut Zahid, kemenangan BN pada pilihan negeri Sarawak dan pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar menunjukkan BN terus meraih sokongan rakyat, namun ia tidak boleh terlalu yakin.

Katanya, walaupun BN tidak menafikan mereka (pembangkang) mempunyai pengaruh, ia akan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat perbandingan dan melihat prestasi pencapaian yang ditunjukkan BN selama ini.

“Sebagai negara demokrasi, kita tak boleh halang mana-mana kumpulan atau orang membuat parti baharu, mengambil alih atau menukar nama parti. Kita tahu PRU tinggal dua tahun sahaja maksimum, mereka rasakan paling baik cari pengaruh,” tambah Zahid.

Dr Mahathir mengumumkan beliau akan menubuhkan parti baru yang akan menjadi sebahagian daripada komponen pakatan pembangkang bagi menghadapi PRU ke-14.

Pakatan pembangkang yang baharu itu terdiri daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara sebagai anggotanya.

Mengulas lanjut penubuhan parti baharu itu, Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden, berkata BN dan UMNO akan berjuang habis-habisan untuk memastikan ia terus menjadi kerajaan.

Apabila ditanya sama ada BN dan UMNO rasa tergugat dengan penubuhan parti baharu oleh Dr Mahathir, Zahid berkata, mereka akan menggunakan segala ilmu yang dicurahkan bekas perdana menteri itu.

“Malah orang yang mahu menubuhkan parti baharu berkenaan juga suatu masa menjadi pemimpin mengambil tindakan yang sama terhadap musuh politiknya, jadi atas ilmu politik yang diajar kepada kami, kami akan laksanakan.

“Dan jika orang itu berada di sebalik sana, kita akan lakukan sebagaimana yang beliau lakukan suatu ketika dulu kepada musuh politik beliau,” katanya. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2016 @ 5:39 AM