SARAH Nur Liyana
SARAH Nur Liyana
myMetro

Kuantan: Sehelai jubah dan tudung hitam sepatutnya dipakai Sarah Nur Liyana Mohd Halim, 16, pada pagi Aidilfitri lalu namun pakaian itu kini menjadi pengubat rindu keluarga selepas dia dilaporkan hilang sejak 24 Jun lalu.

Sehingga kini, Sarah Nur Liyana, pelajar jurusan kulinari institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Kubang Buaya di sini, belum ditemui biarpun usaha mencarinya giat dijalankan.

Difahamkan, ketika kejadian, gadis berkenaan keluar sehelai sepinggang selain tidak membawa kad pengenalan dari kolej tempat dia belajar.

Bapanya, Mohd Halim Mohd Jidi, 43, dari Taman Tanah Putih Baru di sini, berkata, sebelum kehilangan anak sulung daripada empat beradik itu, dia menghantar anaknya ke kolej berkenaan, jam 2 petang kerana perlu menghadiri kelas pada hari itu.

“Seperti dijanjikan, saya menjemput dia pulang pada jam 5.30 petang hari sama tetapi terkejut apabila anak tiada di situ,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia cuba menghubungi telefon anaknya, namun gagal kerana tiada jawapan sebelum menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada anaknya itu pada 30 Jun lalu yang memaklumkan dia akan pulang ke rumah dalam tempoh terdekat.

Katanya, dia rasa tertipu selepas anaknya tidak pulang seperti dinyatakan melalui SMS sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuantan, sehari sebelum 1 Syawal lalu.

Katanya, dia tidak pernah mengongkong kehidupan anaknya itu, apatah lagi berselisih faham.

“Saya bingung kerana tidak tahu punca dia sanggup tinggalkan keluarga,” katanya yang bekerja sebagai kelasi kapal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, polis masih meneruskan operasi mencari mangsa yang dipercayai masih berada di bandar ini dan kes diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 10:19 AM