Zaid Salim


Kuala Terengganu: Dua pelajar kolej kejuruteraan, di sini, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 145, Jalan Kuala Terengganu -Kuantan, dekat kawasan Perindustrian Telok Kalong, Kemaman, semalam, akrab sejak di bangku sekolah rendah.

Malah, keakraban dua Allahyarham Muhammad Ilman Waiz Ahmad Wazi, 18, dan Allahyarham Muhammad Amirul Adli Mohd Anuar, 18, yang masing-masing anak sulung harapan keluarga diibaratkan sebagai pasangan kembar.

Selain sentiasa bersama, dua sahabat terbabit juga meminati bidang sama iaitu jurusan komputer.

Hubungan akrab dua sahabat itu diakui Ahmad Wazi Ramli, 47, bapa kepada Allahyarham Muhammad Ilman Waiz, dan Mohd Anuar Jusoh, 43, bapa kepada Allahyarham Muhammad Amirul Adli termasuk hubungan mereka dengan Muhammad Muttaqin Zainal, 18, iaitu pemandu yang mengalami cedera ringan dalam kemalangan itu.

Ahmad Wazi yang juga pakar jantung Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, berkata, dia menerima berita kemalangan membabitkan anaknya daripada isteri, Siti Syaffurah Mohd Sharif, 45.

"Ketika kejadian saya sedang menjalani kursus di Kuala Lumpur dan segera pulang selepas dimaklumkan isteri.

"Kami reda dengan kejadian ini walaupun ia sangat menyedihkan apatah lagi dia (arwah) anak sulng dan menjadi harapan keluarga," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Kecil, Panji Alam, di sini, hari ini.

AHLI keluarga ketika pengebumian jenazah Muhammad Amirul Adli di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Kecil, Panji Alam. FOTO Zaid Salim
AHLI keluarga ketika pengebumian jenazah Muhammad Amirul Adli di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Kecil, Panji Alam. FOTO Zaid Salim

Ahmad Wazi dari Taman Seri Tanjung, Pasir Panjang berkata, arwah bukan saja mempunyai pencapaian baik dalam akademik malah bagus dalam pengajian agama dan menjadi guru mengaji kepada adik-adiknya seramai enam orang.

Arwah juga katanya seorang yang ringan tulang dan sangat mengambil berat terhadap keluarga dan sentiasa menemani ibunya membeli barangan dapur dan urusan lain.

Sementara itu, Mohd Anuar berkata, dia bekerja di pelantar minyak ketika kejadian dan segera pulang sebelum tiba di rumah tengah hari tadi.

Katanya, dia tidak sempat menatap wajah anaknya kerana tiba ketika jenazah anaknya dalam proses pengebumian.

"Saya menerima berita daripada isteri, Nur Azlizan Ramli, 41, yang menerima berita kemalangan itu daripada pengurusan kolej berkenaan jam 3.15 petang," katanya.

Bagi Nur Azlizan, kehilangan anak sulung daripada empat beradik itu sangat dirasai apatah lagi arwah anak yang menjadi harapan keluarga.

Katanya, hari terakhir dia bertemu anaknya pada minggu lalu apabila dia pulang bersama Allahyarham Muhammad Ilman Waiz dan Muhammad Muttaqin.

"Dia pulang selama seminggu ketika 'study week' dan pulang semula untuk peperiksaan semester dan bercadang pulang semula ke sini untuk menduduki ujian lesen memandu, esok," katanya yang tinggal di Lorong Kiambang, Panji Alam.

Dalam kejadian jam 1.37 tengah hari semalam, dua pelajar kolej maut selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 145, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan.

Dalam kemalangan itu, Muhammad Ilman Waiz maut di tempat kejadian manakala Muhammad Amirul Adli disahkan meninggal ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kemaman, kira-kira jam 3 petang.

Pemandu, Muhammad Muttaqin Zainal, cedera ringan dan dirawat di Hospital Kemaman

Kemalangan dikatakan berlaku apabila Perodua Kancil dinaiki mangsa dirempuh pacuan empat roda ketika memasuki simpang menghala ke Telok Kalong, Kemaman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 5:57 PM