Kuala Lumpur: “Sebelum kejadian dia (arwah) begitu gembira. Malah dia sempat makan malam bersama kami sebelum bertolak ke Kuantan, Pahang,” kata Abd Hissham Sanot, 49, bapa kepada pelajar, Aimi Sarah Abd Hissham, 20, yang maut dalam nahas jalan raya.

Dalam kejadian jam 1 pagi kelmarin, kereta dipandu Aimi merempuh belakang sebuah bas ekspres di Kilometer 153.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), di sini.

Nahas itu menyebabkan rakan mangsa, Nurul Aida Ahmad Tajudin, 20, dari Setiawan, Perak, turut meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Abd Hissam berkata, sebelum kejadian dia bersama isterinya, Jamilah Ramli, 49, sempat makan malam bersama arwah di sebuah pusat beli-belah di Damansara.

Arwah bersama rakannya yang turut terkorban itu datang ke Kuala Lumpur atas urusan pengajian mereka dan pulang ke Kolej Shahputra, Kuantan pada hari sama.

“Kami sempat makan malam bersama di sebuah pusat beli-belah. Sudah lama arwah merancang untuk makan bersama kami,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Nahas menimpa anaknya hanya diketahui jam 3 pagi kelmarin sejurus anggota polis datang ke rumahnya di Taman Muda, Ampang, di sini.

“Berderau darah saya ketika mendapat berita itu. Saya seolah-olah tidak percaya. Saya jadi buntu sebelum bertolak ke Hospital Bandar Jengka (HBJ).

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah walaupun masih dalam keadaan terkejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 6:53 AM