SEBAHAGIAN tetamu yang majoriti warga asing mengambil peluang berbuka puasa secara berjemaah di Masjid Sultan.
SEBAHAGIAN tetamu yang majoriti warga asing mengambil peluang berbuka puasa secara berjemaah di Masjid Sultan.
Mohd Sabran Md Sani


Singapura: Tepat jam 6.30 petang, bangku yang sedia tersusun di ruangan terbuka berbumbungkan kanopi ini mulai padat dengan ratusan pengunjung untuk menikmati hidangan berbuka secara percuma disediakan untuk mereka.

Tidak seperti kebanyakan masjid di Malaysia, hampir 80 peratus daripada tetamu yang hadir bukan kalangan warga Singapura, sebaliknya membabitkan kumpulan pekerja dari Bangladesh dan Indonesia yang merantau jauh untuk mencari rezeki.

Itulah senario dan suasana unik ketika Iftar di Masjid Sultan di Kampung Glam, Singapura yang juga menjadi masjid pertama dibangun di republik itu.

Jika selalunya hidangan berbuka disajikan kepada masyarakat setempat, namun konsep kongsi rezeki diamalkan oleh pengurusan masjid yang dibangunkan sekitar 1826 memberi peluang tetamu masjid untuk berbuka puasa dengan hidangan mengenyangkan.

Difahamkan, program Iftar dipraktikkan pengurusan masjid sejak turun-temurun bagi memberi peluang kepada golongan memerlukan termasuk pekerja kontrak dan penduduk warganegara itu merasai rezeki disediakan secara katering.

Bahkan dengan dana diperuntukkan membolehkan 800 orang dapat merasai juadah berbuka secara berjemaah menggunakan talam untuk dikongsi di atas satu meja serta dapat dinikmati antara empat hingga lima individu.

Lebih unik sikap terbuka dan toleransi membolehkan hidangan itu dinikmati mereka yang bukan beragama Islam.

Menunya berubah, bahkan kebiasaannya, hidangan kurma, tembikai dan nasi beriani ‘asing’ ayam disajikan sukarelawan masjid sebaik disediakan pihak katering.

Berdasarkan maklumat Wikipedia, struktur awal masjid ini dibangunkan sekitar 1826 oleh masyarakat Jawa yang kebanyakannya pedagang awal di Singapura dengan menjalankan aktiviti perdagangan dengan masyarakat Arab, Boyan dan Bugis.

Bangunan masjid itu kemudian menjadi tempat tinggal atau kawasan permukiman awal beberapa etnik masyarakat Indonesia.

Kemudian pada 1920-an ia dibangun seperti kini, selain mengalami beberapa proses pengubahsuaian untuk dijadikan sebagai produk pelancongan Singapura.

Nama asli jalan berdekatan masjid itu seperti Kandahar Street, Baghdad Street, Arab Street dan Bussorah Street masih dikekalkan.

Seorang pekerja kontrak warga Bangladesh, Ullah Abdul Jolil, 29, berkata, dia sangat bersyukur kerana diberi peluang merasai juadah berbuka puasa disediakan pengurusan masjid.

Katanya, usaha murni pengurusan masjid membolehkan kumpulan pekerja dari negara itu merasai juadah berbuka puasa secara percuma.

“Sejak bekerja di negara ini lima tahun lalu, menjadi kelaziman kepada saya untuk menikmati hidangan disediakan termasuk beriani dan pelbagai lagi menu istimewa.

“Bagi kami yang mempunyai pendapatan bulanan S$900 (RM2,700), perlu untuk kami berjimat cermat, apatah lagi dengan kos harian yang tinggi,” katanya.

Katanya, majoriti rakannya yang bekerja di sektor pembinaan mengambil peluang berbuka di masjid tertua di kota singa itu.

Seorang penduduk tempatan, Jaafar Abdul Rahman, 65, berkata, banyak perubahan dapat dilihat kepada menu ditampilkan untuk pengunjung masjid itu.

Jika dulu keadaannya tidak tersusun dengan kuih-muih dilambakkan di atas meja, tetapi keadaan kini jauh lebih baik.

Katanya, kini pengurusan masjid menyediakan hidangan lebih tersusun dan pengunjung boleh duduk di atas kerusi dengan hidangan istimewa tersaji di atas meja.

“Itu pengalaman empat tahun lalu dan keadaannya berbeza kini dan paling istimewa adalah beriani ayam,” kata pemandu teksi itu yang pernah bertugas sebagai pemandu pelancong di negara Temasik itu.

Dia yang mengakui sudah 10 tahun secara ‘on-off’ menikmati juadah berbuka puasa berkata, sudah menjadi budaya kepada masjid di negara itu menyediakan juadah Iftar nasi beriani dan dikongsi bersama jemaah setempat.

Katanya, budaya berkongsi rezeki tanpa mengira warna kulit menjadikan Masjid Sultan mendapat perhatian bukan saja penduduk tempatan, juga pekerja asing.

“Budaya ini memupuk semangat silaturahim tanpa mengira warna kulit dan senario itu boleh dilihat di masjid ini,” kata bapa kepada tiga anak yang tinggal di Tampines.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 9:02 AM