MASYARAKAT Islam berbuka puasa di tingkat dua Masjid Sapporo.
MASYARAKAT Islam berbuka puasa di tingkat dua Masjid Sapporo.

Pelbagai kisah menarik boleh dijadikan iktibar dan pemangkin semangat apabila masyarakat Islam di beberapa negara perlu berpuasa dalam tempoh yang panjang berbanding di Malaysia.

Begitupun, kemeriahan Ramadan tetap dirasa dan diraikan. Hasilnya, ia mengukuhkan hubungan silaturahim antara masyarakat berlainan budaya, tetapi sama akidah.

Minggu ini, Wan Ab Aziz Wan Ahmad berkongsi pengalamannya bersama keluarga menyambut Ramadan di Sapporo, Hokkaido, Jepun, dengan pembaca NUANSA.

“Peluang bekerja di sini membolehkan saya sekeluarga mengenali adat, budaya dan norma masyarakat Jepun. Justeru, sudah tiga tahun kami sekeluarga berpuasa dan beraya di Sapporo, Hokkaido, Jepun.

Kemeriahan berpuasa di sini sudah tentu tidak sama dengan di kampung halaman, namun kami sekeluarga melaluinya dengan penuh kesyukuran kerana masih berpeluang meraikan Ramadan.

Ketika ini Sapporo berada di awal musim panas, tetapi tidaklah terlampau panas kerana Sapporo berada di Pulau Hokkaido iaitu bahagian penghujung utara Jepun. Suhu panas paling tinggi di sini cuma sekitar 26 darjah Celsius, manakala pada waktu malam akan jatuh sehingga 12 darjah Celsius.

Meskipun jarak masa antara di sini dengan Malaysia hanya awal sejam, kami menghadapi waktu berpuasa lebih panjang, iaitu hampir 18 jam sehari.

Siang di sini panjang, justeru waktu bersahur kira-kira jam 1.30 pagi manakala waktu berbuka 7.30 malam.

Hari ini sudah 26 Ramadan, bermakna hanya ada empat hari lagi untuk umat Islam mengejar pahala melimpah ruah yang datang setahun sekali ini.

Pada waktu siang, saya bekerja seperti biasa. Namun, jam 7 malam, saya berada di Masjid Sapporo bersama keluarga untuk mengimarahkan masjid dan pada masa sama berbuka puasa dengan hidangan disediakan.

Seperti biasa, saya akan menikmati juadah ringan terlebih dulu diikuti solat Maghrib dan barulah menjamu makanan berat seperti nasi berlauk.

Saya akan berehat seketika sebelum teruskan solat Isyak, Tarawih dan Witir pada jam 9.30 malam. Kebiasaannya, selesai solat jam 11.30 malam kami terus balik ke rumah. Ada juga rakan yang terus beriktikaf di masjid sementara menanti waktu bersahur kerana masanya sangat singkat.

Di rumah pula, sekitar jam 12.30 tengah malam kami akan memasak ringkas untuk sahur dan diikuti solat Subuh jam 1.30 pagi yang biasanya saya lakukan secara berjemaah di masjid.

Sewaktu mula-mula tiba di sini mungkin sukar dapatkan makanan halal, tetapi kini ia sudah tidak susah lagi.

Untuk berbuka dan bersahur, biasanya bergantung kepada apa yang sempat disediakan secara ala kadar. Maklumlah, saya dan isteri bekerja, jadi kami tidak kisah sangat soal makan. Paling mudah, kami nikmati makanan yang disediakan di masjid.

Kalau masak sendiri tentulah juadah tradisional Melayu seperti kari, rendang dan masakan Kelantan. Tekak orang Jepun sudah tentu tak sama dengan Melayu. Jadi, jika ada masa terluang isteri akan sediakan lauk pauk dan kuih kampung.

Di masjid pula, masakan untuk juadah berbuka puasa mengikut sistem giliran kumpulan atau negara yang diundi untuk menyediakannya.

Dua minggu lalu, iaitu pada Sabtu, kumpulan dari Malaysia memasak untuk juadah iftar. Jadi, kami beramai-ramai menikmati hidangan enak tanah air.

Di sini bilangan umat Islam tidak ramai, tetapi pelbagai bangsa ada di Sapporo seperti dari Asia Barat, Asia dan Eropah.

Lebih menarik, orang bukan Islam turut membantu memasak di masjid. Mereka digalakkan datang dan meraikan iftar di masjid bagi merapatkan silaturahim selain membuka minda mengenai Islam.

Situasi ini mungkin jarang dilihat di masjid di tanah air, tetapi bagi komuniti di sini, mereka mengalu-alukan tanpa memilih bangsa dan agama untuk meraikan Ramadan.

Ikatan mesra ini membuatkan masyarakat di sini lebih menghormati dan mengenali budaya orang Malaysia yang dianggap memiliki kesopanan dan kaya budi bahasa.

Terdapat empat keluarga Malaysia, selebihnya penuntut Malaysia di Universiti Hokkaido seramai 30 orang.

Jadual kuliah dan waktu kerja yang berbeza membuatkan kebanyakan orang Malaysia di sini lebih gemar berbuka puasa di masjid.

Ia turut menjimatkan kos makan penuntut selain dapat mengeratkan silaturahim dengan masyarakat tempatan.

Akhir kalam, saya ingin mengutuskan Salam Ramadan kepada emak tercinta Che Rokiah Cik Seman dan keluarga di Kota Bharu serta bapa dan emak mentua, Mohd Sufian Hashim dan Norehan Kamaruddin serta keluarga di Petaling Jaya, Selangor."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2016 @ 5:05 AM