DUA lelaki dicekup selepas gagal dalam cubaan melarikan diri.
DUA lelaki dicekup selepas gagal dalam cubaan melarikan diri.
KERETA yang dipandu suspek mengalami kerosakan.
KERETA yang dipandu suspek mengalami kerosakan.
Omar Osman


Sungai Petani: Seorang penjenayah berusia 53 tahun yang memiliki 19 rekod jenayah dan pernah menjalani hukuman penjara ditahan bersama seorang rakannya selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis dalam cubaan melarikan diri, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku pada jam 2.20 pagi ketika empat anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda sedang membuat rondaan cegah jenayah di Pekan Lama sebelum terserempak sebuah kereta Proton Waja dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah stesen minyak.

Anggota URB kemudian menghampiri kereta terbabit bagi membuat pemeriksaan, namun pemandu bertindak memecut kenderaan itu menuju ke arah Jalan Kuala Ketil, di sini.

Sumber berkata, anggota URB kemudian mengejar kereta terbabit yang memasuki Jalan Kawasan Industri Bakar Arang dengan turut dibantu Unit Kereta Peronda (MPV) berikutan suspek cuba melarikan diri.

Katanya, pemandu enggan memberhentikan kereta biarpun diarahkan oleh anggota polis sebelum kenderaan dinaiki mereka gagal dikawal lalu terbabas dan masuk ke dalam longkang di hadapan sebuah kilang.

“Kedua-dua suspek itu segera keluar dari kereta dan cuba melarikan diri, namun tindakan pantas anggota URB dan MPV berjaya menahan mereka selepas berlaku pergelutan.

“Hasil pemeriksaan terhadap lelaki berusia 53 tahun didapati mempunyai 19 rekod jenayah membabitkan kes senjata api, samun, pecah rumah dan curi kereta selain pernah menjalani hukuman penjara, manakala rakannya berusia 21 tahun pula dua rekod jenayah lampau,” katanya.

Menurutnya, semakan terhadap kereta Proton Waja yang dinaiki kedua-dua suspek didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Padang Temusu, di sini, pada 26 Mei lalu.

“Kedua-dua suspek kemudian ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, manakala kereta Proton Waja berkenaan turut dirampas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2016 @ 5:08 AM