myMetro

Kuala Lumpur: Seorang lelaki dipercayai terbabit dengan jenayah curi kereta ditahan polis berdekatan restoran di Jalan Mata Ayer Tiga off Jalan Genting Kelang, Setapak, dekat sini, kelmarin selepas dikejar kereta peronda (MPV) dari Jalan Gombak.

Sebelum kejadian jam 9.50 malam, suspek berusia 38 tahun yang memandu Proton Wira dipercayai kenderaan curi mula dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika melalui Batu Tiga, Jalan Gombak berhadapan Sekolah Menengah Chong Hwa.

Berikutan itu, anggota MPV cuba mengejar kenderaan dinaiki suspek untuk pemeriksaan lanjut, namun ia memecut laju hingga memasuki arah lorong belakang restoran berkenaan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, ketika memasuki lorong berkenaan, kereta yang dinaiki dua suspek itu dipercayai rosak dan tidak dapat bergerak.

Menurutnya, difahamkan, kereta berkenaan mengalami masalah gear menyebabkan dua MPV polis berjaya mengepungnya.

“Kedua-dua suspek pada mulanya cuba melarikan diri, namun seorang daripada mereka berjaya ditangkap,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, kenderaan dinaiki suspek mula dikesan MPV ketika melalui Batu Tiga Jalan Gombak berhadapan Sekolah Menengah Chong Hwa dalam keadaan mencurigakan dan apabila polis cuba menahan, pemandu kereta berkenaan bertindak memecut dengan memandu secara berbahaya.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan dipandu suspek berusia 38 tahun itu kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Pudu,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk curi kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 10:15 AM