AZLAN (dua dari kiri) bersama Ahmad Fauzi (kiri) dan Timbalan Pengurus Besar Teknilkal PKNS, Datuk Ir Abdul Ghani Hashim (kanan) melancarkan pembangunan Betara Helang di Batu 9, Sijangkang, semalam.
AZLAN (dua dari kiri) bersama Ahmad Fauzi (kiri) dan Timbalan Pengurus Besar Teknilkal PKNS, Datuk Ir Abdul Ghani Hashim (kanan) melancarkan pembangunan Betara Helang di Batu 9, Sijangkang, semalam.
Ayusliza Azizan


Kuala Langat: Sebanyak RM8 juta diperuntukkan bagi membangunkan 26 unit rumah berkembar satu tingkat yang diusahakan anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), PKNS Engineering Construction Berhad (PECB) di Jalan Helang, Teluk Panglima Garang, di sini.

Ia dibina di tanah berstatus rizab Melayu berkeluasan 1.5 hektar dan dijangka siap Oktober tahun depan.

Pengurus Besar PKNS Azlan Md Alifiah berkata, pembinaan rumah di tanah milik rizab Melayu adalah inisiatif PKNS dalam membangunkan rumah yang ideal dengan harga 10 hingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

“Kita menyasarkan golongan berpendapatan sederhana dan sederhana tinggi membeli rumah yang bermula pada harga RM430,000 seunit untuk rumah berkeluasan 1,200 ke 1,300 kaki persegi.

“Reka bentuknya terkini dan menarik serta kemudahan infrastruktur dan prasarana yang disediakan pemaju memberi kemudahan kepada pembeli,” katanya ditemui selepas melancarkan Pembangunan Betara Helang di sini, semalam.

Hadir sama Pengurus Besar PECB Ahmad Pauzi Mhd Noor.

Sementara itu, Azlan berkata, pihaknya komited untuk membina 381 unit rumah di tanah rizab Melayu melalui tiga anak syarikatnya iaitu PECB, PKNS Infa Berhad (PIB) dan Selangor Industrial Corporation (SIC).

Dalam pada itu, Ahmad Pauzi berkata, projek berkenaan adalah kali pertama dibangunkan di tanah rizab Melayu dan sebagai titik permulaan anak syarikat PKNS memajukan tanah rizab Melayu di sekitar Selangor yang kebanyakannya terbiar dan terabai.

“Kami sudah mengenal pasti beberapa tanah rizab Melayu seperti di Jalan Balam dan Jalan Merbuk di Teluk Panglima Garang, Jalan Kebun dan Jalan Kampung Lombong Emas 3 di Klang untuk dimajukan bagi memenuhi aspirasi PKNS untuk menyediakan rumah berkualiti kepada rakyat Selangor.

“PECB akan terus majukan tanah rizab Melayu untuk memastikan rakyat negeri ini dapat mendiami rumah impian mereka,” katanya.

Baru-baru ini PIB mengadakan majlis penyerahan kunci rumah kepada pembeli bagi 22 unit rumah berkembar di projek Taman Desa Kencana, Meru yang dibangunkan di tanah rizab Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 9:32 AM