PEMBELI melihat persekitaran rumah dua tingkat selepas majlis penyerahan kunci kepada pembeli rumah di Taman Desa Kencana, Meru.
PEMBELI melihat persekitaran rumah dua tingkat selepas majlis penyerahan kunci kepada pembeli rumah di Taman Desa Kencana, Meru.
Ayusliza Azizan


Klang: Sebanyak 22 unit kediaman berkembar dua tingkat berjaya dibina buat pertama kalinya di tanah berstatus rizab Melayu oleh anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), PKNS Infra Berhad (PIB).

Projek perumahan dikenali sebagai Taman Desa Kencana di Meru itu dibangunkan pada 2013 di tanah seluas 1.3 hektar dan siap sepenuhnya pada November tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PIB Mohd Zain Sarman berkata, projek pertama yang dibangunkan di Tanah Rizab Melayu itu dibina dengan setiap unit dijual RM390,000 hingga RM600,000 mengikut keluasan tanah.

“Projek yang ditawarkan ini adalah kediaman ideal berinspirasikan gaya hidup urban yang memaparkan seni bina mengikut trend semasa, rekaan moden serta praktikal.

“Kita juga sudah menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada April lalu yang memilih tanah rizab Melayu seperti ini bagi menyediakan rumah kos sederhana tinggi berikutan terdapat permintaan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan kunci kepada 19 pembeli di Taman Desa Kencana, Bukit Kapar di sini, semalam.

Mohd Zain berkata, kejayaan projek itu adalah titik permulaan anak syarikat PKNS untuk memajukan Tanah Rizab Melayu sekitar Selangor yang sering berdepan masalah faraid.

Beliau berkata, pihaknya kini sudah mengenal pasti Tanah Rizab Melayu di Sungai Merab di Kajang, Hulu Langat serta beberapa kawasan di Lembah Klang seperti Jalan Kebun dan Kampung Lombong untuk dimajukan.

Dalam pada itu, Mohd Zain turut mengalu-alukan pemilik Tanah Rizab Melayu bekerjasama dengan pihaknya untuk pembangunan komersial dan perumahan.

Sementara itu, pembeli, Hasazami Abu Zain, 45, berkata, dia teruja kerana buat pertama kalinya berjaya membeli rumah selepas sekian lama menyewa.

“Rumah ini sesuai untuk anak saya membesar dan mempunyai ruang besar untuk mereka bermain berbanding sebelum ini apabila aktiviti mereka terhad kerana tinggal di pangsapuri.

“Kawasan taman perumahan ini juga dekat dengan lebuh raya sekali gus memudahkan saya dan isteri bekerja di Damansara,” katanya yang dijangka berpindah selepas Aidilfitri nanti.

Pembeli lain, Kamsol Khalid, 49, berkata, rumah itu dibeli sebagai persediaan untuk dia dan isteri bersara yang kebetulan dekat dengan kampung mentuanya serta adik beradik lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 7:04 AM