KEBAKARAN di kebun kelapa sawit. FOTO ihsan JAS
KEBAKARAN di kebun kelapa sawit. FOTO ihsan JAS
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik tanah susulan pembakaran kebun kelapa sawit di Jalan Sijangkang Utama, Kebun Baru, Telok Panglima Garang, Ahad lalu.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, pihaknya mendapat makluman melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor yang melakukan kerja pemadaman api.

Katanya, siasatan mendapati lokasi berkenaan adalah kebun kelapa sawit terbiar yang sedang dibersihkan untuk tanaman semula kelapa sawit.

"Pembakaran itu juga menyebabkan berlakunya jerebu setempat (di kawasan kebakaran) yang sederhana yang mana Indeks Pencemar Udara (IPU) direkodkan antara 51 hingga 100.

"Jerebu berkenaan bagaimanapun sudah tiada dan JAS juga mengarahkan kerja-kerja ditapak dihentikan.

"Tindakan selanjutnya adalah siasatan serta pendakwaan akan dilakukan terhadap pemilik tanah mengikut Seksyen 29 (A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM500,000 atau penjara sehingga maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika dihubungi hari ini.

Nor Aziah berkata, JAS juga memberi amaran tegas bahawa pelaku pembakaran terbuka seumpamanya boleh dikenakan kompaun maksimum RM2,000 bagi setiap kesalahan dibuat.

Sementara itu, Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis memaklumkan pihaknya menerima aduan kebakaran kebun sawit itu pada 8.21 pagi.

Katanya, kebakaran membabitkan belukar berkeluasan satu ekar (0.40 hektar).

"Kebakaran berjaya dikawal pada 7 malam dan padam sepenuhnya 25 minit kemudian.

"Insiden itu turut dimaklumkan kepada JAS untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 12:07 PM