GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
BERNAMA

Shah Alam: Dakwaan Pas Selangor bahawa jumlah keluasan tanah rizab Melayu di negeri itu telah menurun secara mendadak daripada 2019 hingga 2021 adalah fitnah kerana tidak menepati fakta.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Juwairiya Zulkifli berkata, secara faktanya, keluasan tanah rizab Melayu Selangor berjumlah 160,233.86 hektar (395,946.50 ekar) pada 2013.

"Sejak Pas tidak lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor mulai 2018, keluasan tanah rizab Melayu Selangor meningkat secara strategik kepada 162,657.71 hektar (401,935.96 ekar) pada 2019 dan sebanyak 163,138.24 hektar (403,123.39 ekar) pada 2021.

"Ini bermaksud keluasan tanah rizab Melayu di bawah pentadbiran Pakatan Harapan Selangor meningkat sebanyak 2,904.38 hektar (7,176.89 ekar) termasuk pewartaan di kawasan Hilir Tambahan-Hulu Langat, Kundang-Kuala Langat, Selayang Pindah-Gombak, Ulu Semenyih-Hulu Langat dan Bukit Cherakah-Petaling," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Melawati itu berkata, kerajaan Selangor terus komited untuk memelihara keluasan tanah rizab Melayu agar dipantau secara rapi melalui Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

Tegasnya, Pas wajar memohon maaf kerana cuba memfitnah dan menipu warga Selangor serta harus muhasabah serta mengelak daripada amalan tercela dengan menyebar fitnah, terutamanya pada bulan Ramadan ini.

Juwairiya berkata demikian mengulas berhubung dakwaan Pesuruhjaya Pas Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi yang mendakwa jumlah keluasan tanah rizab Melayu menurun secara mendadak daripada 2019 hingga 2021 sebanyak 3,200 hektar di sebuah portal berita hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 8:23 PM