DR Saiful Anwar menunjukkan anugerah diterimanya.
DR Saiful Anwar menunjukkan anugerah diterimanya.
Shahrinnahar Latip

Kuantan: Seorang pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini, berjaya mencipta teknologi pemotongan logam mesra alam selain mudah digunakan selepas enam tahun melakukan kajian dan penyelidikan.

Ia dikenali sebagai ‘Internally Cooled Smart Cutting Tool’ iaitu alat pemotongan logam menggunakan teknologi penyejukan dalaman tanpa membabitkan bahan kimia berbahaya.

Dr Saiful Anwar Che Ghani, 35, berkata, idea mencipta teknologi itu bermula apabila sebuah syarikat automotif di Itali menghubungi penyelia ijazah Doktor Falsafah (PhD) di United Kingdom (UK) mengenai masalah kesihatan dihadapi pekerja kilang berikutan kebergantungan kepada cecair penyejuk konvensional.

“Penyelidikan bermula pada 2010 secara teori ketika saya menyiapkan tesis PhD di Brunel University, UK, tetapi prototaip hanya mampu dibina menggunakan dana penyelidikan UMP di bawah Automotive Excellence Centre (AEC) yang siap tahun lalu.

“Anggaran kos teknologi itu termasuk sistem pam bernilai RM5,000 dan satu kerjasama dimeterai dengan sebuah syarikat pada Ogos tahun lalu untuk mengaplikasikan produk penyelidikan berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Cendekia Bitara 2015, di sini, malam kelmarin.

Seramai 56 penyelidik dan pensyarah yang meraih kecemerlangan dalam penyelidikan unggul dan berkualiti tinggi menerima anugerah disampaikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Hadir sama, Naib Canselor UMP Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

Saiful Anwar berkata, menerusi teknologi itu air bercampur glycol digunakan sebagai medium penyejuk dan dipam dari tangki ke mata alat secara kitar semula tanpa ada sisa tercemar kepada alam sekitar.

Katanya, pemotongan logam dengan mata alat berkenaan tidak menggunakan cecair penyejuk konvensional yang mengandungi kandungan kimia berbahaya.

“Haba tinggi dihasilkan ketika pemotongan logam tidak baik untuk mata alat mahu pun kualiti bahan dipotong,” katanya.

Sementara itu, Adnan dalam ucapannya berharap hasil penyelidikan pensyarah dan penyelidik UMP dapat dimanfaatkan masyarakat serta diaplikasikan pihak industri berkaitan selaras tagline UMP iaitu ‘Memasyarakatkan Teknologi’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 5:22 AM