Prof Dr Nahrizul Adib menunjukkan pengimbas suhu, Sauna32. Foto Hazreen Mohamad
Prof Dr Nahrizul Adib menunjukkan pengimbas suhu, Sauna32. Foto Hazreen Mohamad
Redzuan Muharam

MENYEDARI bahaya pandemik Covid-19 yang belum reda, sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) berganding bahu membangunkan inovasi pengimbas suhu diberi nama Sauna32.

Ketua Penyelidik UM Prof Madya Dr Nahrizul Adib Kadri berkata, projek itu dijalankan dengan kerjasama 10 pensyarah dari Fakulti Perubatan, Fakulti Kejuruteraan serta Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat dengan kerjasama sebuah syarikat tempatan yang diusahakan alumni UM.

Menurutnya, dana untuk melaksanakan projek pula diperoleh daripada universiti berkenaan menerusi geran penyelidikan berjumlah RM50,000.

"Projek ini bermula pada Mac lalu dan mengambil masa sebulan untuk membangunkan prototaip alat berkenaan.

"Secara asasnya, alat berkenaan dibangunkan dengan beberapa komponen iaitu tablet dilengkapi dengan pemproses di dalam penderia suhu inframerah, manakala pemegangnya dihasilkan menggunakan mesin pencetak tiga dimensi (3D).

"Hasilnya, pengguna dapat mengesan suhu mereka hanya dengan kod QR pada skrin tanpa ada sentuhan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah (KK12), Kuala Lumpur semalam.

Nahrizul berkata, majoriti penyelidik datang daripada latar belakang penyelidikan dan cabaran utama dihadapi adalah memikirkan strategi untuk pemasaran.

Namun, katanya, inisiatif dilakukan mereka mendapat perhatian pelbagai agensi termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

"Memang ada produk serupa di pasaran, tetapi Sauna32 memiliki kelebihan tersendiri kerana dihasilkan dalam negara.

"Justeru, data yang terkumpul selamat dalam simpanan dan berisiko rendah untuk disebarkan kepada pihak luar.

"Lagipun, alat berkenaan sudah diuji keberkesanannya di dalam kampus dan MOSTI turut berpuas hati, manakala beberapa agensi lain antaranya Pusat Sains Negara sudah menunjukkan minat untuk mendapatkannya.

"Cuma, kita tidak dapat membuat paten bagi keseluruhan produk ini, tetapi ada perancangan untuk membuat penambahbaikan dengan membangunkan sistem yang berupaya mengecam wajah dan pengimbas termal bagi mendapatkan data lebih jitu," katanya.

Menurut Nahrizul, pihaknya berharap ciptaan itu mampu menunjukkan keupayaan penyelidik tempatan dalam menghasilkan inovasi yang memberi manfaat untuk jangka masa panjang.

"Inovasi ini mungkin nampak mudah kerana sudah ada produk tersedia di pasaran yang boleh dijadikan rujukan.

"Namun, penting untuk kita jalankan projek sebegini sebagai permulaan dan diharap, semua penyelidik melihat sesuatu perkara dalam konteks yang luas dalam menghasilkan apa jua ciptaan yang boleh memenuhi keperluan orang ramai.

"Alat ini, misalnya nampak seperti pengimbas suhu biasa, tetapi ia penting dalam berdepan situasi normal baharu atau kemungkinan wabak tidak diduga pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 8:30 PM