PAMERAN tisu kultur menarik perhatian pelajar.
PAMERAN tisu kultur menarik perhatian pelajar.
HM Digital

Bidang sains biologi ialah salah satu cabang pengajian sains yang meliputi pelbagai aspek kehidupan termasuk mikrobiologi, ekologi, biokimia selain interaksi antara semua elemen ini dengan persekitarannya.

Perkembangan bidang bioteknologi dan kejuruteraan genetik, kajian berkenaan struktur fizikal serta kimia organisma hidup turut memperlihatkan kemajuan.

Begitu juga dengan penyelidikan terkini berkenaan fungsi, pembangunan dan evolusi organisma hidup memerlukan barisan penyelidik yang mempunyai kepakaran.

Atas kesedaran itu, sekumpulan 12 penyelidik dari Institut Sains Biologi (ISB), Universiti Malaya (UM) berusaha mendekati pelajar sekolah dan berkongsi hasil kajian mereka, baru-baru ini.

Kehadiran penyelidik UM ini adalah sebahagian daripada program Minggu Sains dan Matematik yang dianjurkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom, Banting, Selangor.

Pensyarah kanan ISB yang mengetuai delegasi, Dr Rosazlin Abdullah berkata, tujuan program itu untuk menarik minat pelajar sekolah dalam bidang sains terutama sains biologi dan memberi pendedahan berkenaan kajian terkini yang dilaksanakan UM.

“Pelajar menunjukkan minat untuk mengetahui lebih lanjut hasil kajian yang dipamerkan dengan mengaitkan ilmu dipelajari di sekolah.

“Diharapkan pameran ini dapat memupuk minat pelajar dalam sains biologi dan memberi pendedahan kepada mereka berkenaan bidang kajian yang boleh diterokai dengan lebih mendalam,” katanya.

Ia membabitkan 300 pelajar dari tingkatan satu hingga lima mengunjungi pameran yang disediakan UM itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan ISB Prof Madya Dr Nurhayati Zainal Abidin berkata, pelajar berpeluang bertanyakan soalan secara langsung kepada penyelidik yang mengambil bahagian.

“Kunjungan kali ini mengumpulkan beberapa pensyarah dan penyelidik dari pelbagai bidang pengajian berbeza yang ditawarkan ISB iaitu sains pengurusan alam sekitar, ekologi biodiversiti, bioteknologi, dan bioinformatik.

“Terdapat empat lagi bidang pengajian yang ditawarkan di ISB iaitu genetik, biokesihatan, biokimia dan mikrobiologi.

“Pameran bidang sains biologi di sekolah ini adalah sejajar dengan objektif ISB untuk menyumbang kepada pembangunan negara melalui penyelidikan berkualiti yang bertindak balas kepada keperluan akhir masyarakat dengan berkongsi hasil kajian mereka,” katanya.

Pelajar tingkatan lima, Faizul Hakim Jumian, 17, berkata Minggu Sains dan Matematik ialah program tahunan dan dilaksanakan sepenuhnya pelajar SMK Jenjarom dari Persatuan Sains dan Teknologi.

“Kami bersetuju untuk menjemput penyelidik dari UM bagi melihat sendiri dengan lebih dekat hasil kajian yang dilaksanakan di universiti.

“Kami harapkan pendekatan ini bukan saja dapat meningkatkan minat belajar dalam kalangan pelajar, malah menimbulkan keinginan untuk meneroka kerjaya dalam bidang sains biologi,” katanya yang juga Pengerusi, Persatuan Sains dan Teknologi SMK Jenjarom itu.

Antara bahan kajian yang dipamerkan ialah demonstrasi penggunaan perisian khas digunakan penyelidik bidang bioinformatik, anak pokok nanas yang dihasilkan secara kultur tisu oleh penyelidik bidang bioteknologi, replika mamalia dan haiwan dari bidang ekologi dan biodiversiti, pameran tanah, bioarang dan aktiviti mengenal pasti tekstur, warna dan berat tanah dari penyelidik bidang pengurusan alam sekitar. -Fazurawati Che Lah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 11:27 AM