PRODUK Germs Free Hand Sanitizer yang dihasilkan penyelidik dari UMP.
PRODUK Germs Free Hand Sanitizer yang dihasilkan penyelidik dari UMP.
HM Digital

Kuantan: Sekumpulan penyelidik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang, di sini, berjaya menghasilkan cecair pembunuh kuman atau sanitizer diperbuat daripada daun sireh.

Produk dinamakan Germs Free Hand Sanitizer dihasilkan penyelidik diketuai Datin Prof Dr Mimi Sakinah Abdul Munaim itu berbeza dengan cecair pembunuh kuman sedia ada di pasaran kerana dapat mengelakkan masalah kulit merengsa berikutan penggunaan etanol iaitu bahan kimia alkohol yang asasnya daripada petroleum.

Dr Mimi Sakinah berkata, penyelidikan dan usaha menghasilkan inovasi itu dijalankan sejak 2008 apabila pihaknya mahu mencari formula khas yang boleh menjadi antiseptik untuk digunakan dalam kehidupan seharian.

DR Mimi Sakinah menunjukkan mesin pengadun cecair pembunuh kuman.
DR Mimi Sakinah menunjukkan mesin pengadun cecair pembunuh kuman.

Beliau berkata, pada mulanya mereka menggunakan daun binahong untuk menghasilkan produk seperti sabun dan krim, bagaimanapun ia dianggap kurang berjaya kerana tidak kelihatan menarik yang mungkin menyebabkan ia sukar dipasarkan.

“Kami melakukan penyelidikan lanjutan untuk menghasilkan produk antiseptik mampu dipasarkan dan akhirnya berjaya membangunkan inovasi sanitizer diperbuat daripada daun sireh.

“Ia berjaya mengatasi masalah kulit merengsa yang sering dialami pengguna apabila menggunakan sanitizer sedia ada di pasaran,” katanya ketika ditemui di UMP Kampus Gambang, kelmarin.

Beliau berkata, inovasi itu diuji di Makmal Bioserasi dan Klinik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi memastikan produk itu selamat digunakan, selain digunakan secara dalaman di UMP serta sebuah hospital swasta di bandar ini.

“Setakat ini, produk ini tidak memberikan sebarang kesan negatif dan ramai memberikan maklum balas positif antaranya kulit pemakai lembap apabila digunakan, tidak merengsa seperti produk lain.

PENYELIDIK UMP membotolkan cecair pembunuh kuman.
PENYELIDIK UMP membotolkan cecair pembunuh kuman.

“Ketika ini, kami melakukan penyelidikan lanjutan untuk mempelbagaikan perasanya kerana setakat ini hanya ada perasa lemon. Ada juga permintaan supaya ia tidak dicampur dengan perasa bagi kegunaan jemaah haji,” katanya.

Mimi Sakinah berkata, pada masa sama pihaknya dalam proses mendapatkan sijil halal bagi cecair pembunuh kuman itu dan ia perlu melalui pelbagai proses termasuk perakuan pengurusan amalan terbaik daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Kami bakal menjadi pengeluar pertama mendapat persijilan halal bagi produk cecair pembunuh kuman jika berjaya, pengguna tidak perlu was-was menggunakannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 8:27 AM