DR Mohd Azri bersama empat lagi penerima Geran Penyelidikan Anugerah Merdeka Penempatan Antarabangsa 2019. FOTO Asyraf Hamzah
DR Mohd Azri bersama empat lagi penerima Geran Penyelidikan Anugerah Merdeka Penempatan Antarabangsa 2019. FOTO Asyraf Hamzah
Fairul Asmaini Mohd Pilus

“SAYA dan empat lagi adik-beradik dibesarkan dalam keluarga yang susah. Ayah hanya peneroka Felda manakala ibu pula suri rumah.

“Meskipun dalam serba kekurangan, baik ibu mahu pun ayah tidak pernah merungut mencari rezeki untuk membesarkan kami, pengorbanan mereka itu yang menjadi peniup semangat untuk saya belajar bersungguh-sungguh demi mengubah nasib keluarga, “ kata Dr Mohd Azri Ab Rani, 36.

Pensyarah kanan dari Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam itu bukan calang-calang pensyarah kerana dia antara lima penyelidik muda yang dipilih menerima Geran Penyelidikan Anugerah Merdeka Penempatan Antarabangsa 2019 menerusi penyelidikan cecair berionik untuk bateri masa hadapan.

Menerusi kajian berkenaan, Mohd Azri mencipta cecair berionik polimer elektrolit sebagai pemisah untuk ion bateri. Ia bukan sahaja murah dan menjimatkan kos, malah lebih selamat berbanding pemisah biasa.

Selain itu, cecair berionik berkenaan juga tidak bocor atau mudah meruap, sekali gus mengurangkan risiko kebakaran.

Harian Metro berpeluang menemu bual anak muda kebanggaan Felda Keratong 2, Pahang itu baru-baru ini di fakultinya.

Sepanjang hampir dua jam temu bual berlangsung, Mohd Azri tidak putus-putus mengucapkan syukur dan menzahirkan penghargaan kepada ibu bapanya, Arinah Mohamad dan Ab Rani Sulaiman.

Mohd Azri berkata, kehidupan sukar zaman kanak-kanak yang dilalui di kawasan pedalaman jauh dari kemajuan banyak mendorongnya untuk menumpukan sepenuhnya kepada pelajaran kerana hanya dengan ilmu sahaja dia dapat memiliki masa depan lebih cerah.

CECAIR berionik yang digunakan dalam bateri lebih selamat dan murah. FOTO Faiz Anuar
CECAIR berionik yang digunakan dalam bateri lebih selamat dan murah. FOTO Faiz Anuar

Katanya, pendapatan ayah sebagai peneroka Felda tidak sebanyak mana dan demi meringankan beban kewangan keluarga, ibunya banyak membantu dengan menjual kuih di kawasan kampung.

“Demi anak-anak, ibu sanggup bersengkang mata bangun di awal pagi membuat kuih untuk dijual.

“Masih jelas di ingatan saya pengorbanan yang mereka lakukan demi memastikan kami adik-beradik mendapat pendidikan sebaiknya.

“Saya tidak akan dapat kecapi kejayaan hari ini tanpa sokongan, dorongan dan doa daripada mereka,” katanya.

Menurut Dr Mohd Azri, selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia, dia meneruskan pelajaran peringkat matrikulasi di Kolej MARA Seremban dan kemudian melanjutkan pengajian dalam jurusan Sarjana Muda (Kepujian) Kimia Petroleum di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Katanya, meskipun ia bukan jurusan pertama yang menjadi pilihan namun dia menerima dengan hati terbuka kerana apa yang penting adalah untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang.

“Waktu itu, jika sebut mengenai jurusan berkaitan petroleum pasti ia terus dikaitkan dengan bekerja di Petronas dan ia sesuatu yang gah ketika itu sedangkan banyak lagi cabang kerjaya yang boleh diceburi.

ANTARA anugerah yang dimenangi. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
ANTARA anugerah yang dimenangi. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

“Nak dijadikan cerita, suatu hari pada semester lima pengajian, saya terbaca iklan mengenai tawaran pengambilan Skim Tenaga Pensyarah Muda (TPM) oleh UiTM dan hati terus terbuka untuk cuba memohon.

“Siapa sangka, ketika di semester enam, saya dapat tawaran TPM dan berpeluang menyambung pengajian peringkat Sarjana Kimia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan biasiswa yang diberi UiTM,” katanya.

Dr Mohd Azri mengakui, jika tidak kerana skim TPM dan biasiswa yang diterima, dia hampir berputus asa untuk menyambung pengajian peringkat sarjana kerana ketiadaan wang mencukupi.

Justeru, Mohd Azri mengakui dia terhutang budi kepada UiTM kerana universiti itu turut memberi peluang kepadanya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di Imperial College, London dan kemudian ke peringkat pasca kedoktoran di Universiti Kyoto, Jepun.

Peluang yang diberikan dibalas dengan kejayaan, kredibiliti kajian pensyarah muda itu turut diakui dan dia merangkul pelbagai anugerah antaranya Special Award in Innovation at The Asia Innovation Show 2018, GOLD Award di The 4th International Innovation Design and Articulation (i-IDeA) 2018.

Selain itu, Mohd Azri turut memenangi Gold Award di Pertandingan Rekaan, Inovasi dan Ciptaan (IID) 2017, Gold Award pada Pameran Antarabangsa mengenai Idea, Penciptaan, Inovasi dan Rekaan yang Berlandaskan Syariah (ISCIIID) 2016, Produk Komersil Terbaik Uthman Ibn Al Affan ISCIID 2016, Gold Award Invention, Innovation, Design Exposition (iidex) 2016 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang UiTM 2018.

Tidak cukup dengan itu, Mohd Azri turut aktif dalam misi kemanusiaan sama

ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 7:30 AM