DARI kiri  Dr Mohd Bakri,     Dr Wan Wardatul,  Dr Nur Adlyka, Dr Maryam,  Shahrin   dan  Pengerusi Pusat Fizik dan Bahan Novel FST UKM, Prof Madya Dr Faizal Mohamed  pada Forum Dunia Pascasiswazah Keilmuan Keperluan atau Keterpaksaan di UKM, Bangi.
DARI kiri Dr Mohd Bakri, Dr Wan Wardatul, Dr Nur Adlyka, Dr Maryam, Shahrin dan Pengerusi Pusat Fizik dan Bahan Novel FST UKM, Prof Madya Dr Faizal Mohamed pada Forum Dunia Pascasiswazah Keilmuan Keperluan atau Keterpaksaan di UKM, Bangi.
Siti Fatimah Nasir

Bangi: “Saya juga pernah berputus asa untuk meneruskan bidang ini. Namun, saya perlu paksa diri untuk tamatkan pengajian sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD) walau sesusah mana pun,” Nur Adlyka Ainul Annuar, 27.

Beliau adalah seorang daripada lima penyelidik dan saintis terkenal tanah air yang berkongsi pengalaman kerjaya sebagai saintis seawal dari peringkat pascasiswazah sehingga memulakan kerjaya sebagai penyelidik dalam Forum Khas Pusat Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)-Dunia Pascasiswazah, Keilmuan, Keperluan atau Keterpaksaan dengan kerjasama MajalahSains.Com di sini, semalam.

Nurul Adlyka menempa nama dalam bidang penyelidikan saintifik mengenai penemuan Supermassive Black Holes (lohong hitam supermasif).

“Menjadi seorang saintis bukan perkara mudah. Malah, mereka perlu mempunyai jiwa yang tidak mudah mengalah dalam menyelesaikan sesuatu masalah,” katanya ketika ditemui pada forum berkenaan di sini, semalam.

Hadir sama, Penyelidik Kimia Universiti Teknologi Malaysia Dr Mohd Bakri Bakar, Penyelidik Imunologi Universiti Sains Malaysia dan Aktivis #MedTweetMy Dr Maryam Azlan, Penyelidik Bioteknologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Wan Wardatul Amani Wan Salim dan Penggiat Bidang Astronomi Shahrin Ahmad yang masing-masing mempunyai kepakaran dalam bidang sains dan teknologi.

Menurut Nurul Adlyka, mahasiswa masa kini perlu minat dan komited terhadap pengajian yang mereka pilih di peringkat universiti supaya tidak menyesal di kemudian hari.

“Sebelum menyambung pengajian ke peringkat PhD, mahasiswa perlu melihat kepada keperluan pada masa hadapan.

“Jika mempunyai azam mahu menjadi pensyarah mahupun penyelidik, pengajian ke peringkat PhD digalakkan apabila setiap usaha itu disumbangkan kembali kepada negara,” katanya yang juga penuntut PhD dalam bidang Astrofizik di Pusat Astronomi Ekstragalaktik, Jabatan Fizik, Universiti Durham, United Kingdom.

Sementara itu, Dr Wan Wardatul Amani berkata, masyarakat perlu mengubah persepsi mengenai kerjaya penyelidik dan saintis yang dikatakan hanya duduk di dalam makmal saja.

“Mereka perlu tahu setiap kerja dilakukan itu bukan senang. Malah, ia mengambil masa tiga tahun hanya untuk menyelesaikan masalah dalam sesuatu bidang membabitkan sains.

“Bukan itu saja, kemahiran berkomunikasi di antara penyelidik dan masyarakat juga penting dalam menyampaikan sesuatu maklumat menggunakan cara mudah supaya dapat meningkatkan minat masyarakat dalam bidang sains selaras menuju wawasan 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 3:26 AM