NAJIB dan Putin bersalaman pada Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Russia.
NAJIB dan Putin bersalaman pada Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Russia.

Malaysia sekali lagi mengulangi pendiriannya yang mahukan kes tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 ditembak jatuh di Timur Ukraine pada 17 Julai 2014, diselesaikan sampai ke penghujungnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau memaklumkan kepada Presiden Russia, Vladimir Putin bahawa kerajaan mahu memastikan segala tindakan adalah berdasarkan proses keadilan yang boleh memberi kepuasan kepada keluarga mangsa.

“Sehubungan itu, kami bersetuju supaya sebarang langkah selanjutnya hanya akan dibuat selepas pembentangan laporan berhubung siasatan dalam unsur jenayah oleh Pasukan Penyiasatan Bersama Oktober depan,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, semalam.

Perdana Menteri sebelum itu mengadakan perbincangan dua hala dengan Putin di luar Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Russia selama dua hari, bermula semalam.

Turut sama dalam pertemuan itu Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Duta Malaysia ke Russia, Datuk Hayati Ismail dan pegawai kanan Kementerian Luar.

Pesawat Boeing 777-200 itu ditembak menggunakan peluru berpandu jenis 9N314M dilancar oleh BUK di ruang udara Donetsk yang dikuasai pemberontak Ukraine menyebabkan 283 penumpang dan 15 anak kapal terkorban, termasuk 44 warga Malaysia.

Najib berkata, dalam pertemuan 30 minit itu beliau dan Putin juga mengambil maklum hubungan perdagangan kedua-dua negara walaupun memuaskan tetapi tidak sampai ke tahap memberansangkan dan usaha perlu ditingkatkan bagi merebut peluang yang terbuka luas.

Oleh itu, katanya, Malaysia berhasrat untuk meneroka peluang menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan lima negara Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU), termasuk Russia.

Menurut Perdana Menteri, Putin pula melahirkan hasratnya supaya kerjasama meluas dapat dilaksanakan dalam bidang ekonomi, teknikal, pendidikan, pertahanan dan menangani isu keganasan melampau seperti Daish.

“Beliau juga menyatakan kesediaan Russia membekalkan peralatan pertahanan jika Malaysia ingin meningkatkan lagi keupayaan pertahanan kita,” katanya.

Mengenai kerjasama dalam bidang pelancongan, Najib berkata kedua-dua pihak bersetuju kemungkinan mewujudkan semula penerbangan terus Kuala Lumpur-Moscow, selain meningkatkan kekerapan penerbangan sewa khas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 9:23 AM