Beijing: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa Presiden Russia Vladimir Putin membantu memberi akses sepenuhnya ke kawasan nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 bagi memudahkan pasukan penyiasat melakukan siasatan penuh berhubung insiden itu.

Najib berkata, banyak lagi yang perlu dilakukan sebelum kes itu dapat dimuktamadkan dan berharap kedua-dua pihak, Russia dan Ukraine, memahaminya.

“Sekarang kita berada pada tahap masih banyak persoalan berbanding jawapan yang diperoleh untuk dimaklumkan kepada waris penumpang yang terbabit.

“Kami berharap kami boleh bergantung kepada anda untuk membantu kami menyimpulkan apa sebenarnya yang berlaku terhadap MH17,” katanya kepada Putin semasa mesyuarat dua hala di sini, kelmarin.

Sementara itu, Putin berkata, Russia akan membantu menyelesaikan masalah itu bersama-sama Malaysia dan bersetuju isu akses ke tapak nahas adalah paling utama.

Putin juga bersetuju adalah penting untuk menjalankan penyiasatan yang menyeluruh berhubung kejadian itu.
– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:12 AM