ADI Azuan (tengah) beramah mesra dengan penerima anugerah.
ADI Azuan (tengah) beramah mesra dengan penerima anugerah.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Prihatin terhadap pembinaan akademik serta lonjakan semangat golongan pelajar, seramai 100 pelajar menerima Anugerah Kecemerlangan daripada Lembaga Tabung Haji (TH) hasil keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki.

Anugerah berkenaan membabitkan pelajar yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Pegawai Operasi TH Datuk Adi Azuan Abdul Ghani berkata, seramai 50 penerima bagi kategori UPSR, 30 penerima untuk PT3 dan 20 penerima kategori SPM.

“Anugerah ini diberikan sebagai satu pengiktirafan TH kepada mereka yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan serta lonjakan semangat untuk terus konsisten dalam akademik.

“Kita sememangnya menitikberatkan aspek pembinaan akademik serta kokurikulum dan pelbagai program dilaksanakan untuk merealisasikan tujuan itu,” katanya kepada selepas majlis penyampaian anugerah itu, di sini, semalam.

Adi Azuan berkata, program ini dilaksanakan setiap tahun dan semua penerima anugerah adalah ahli Kelab Tabung Haji (TaHa) dan juga pendeposit TH.

Beliau berkata, TH memperuntukkan RM1.5 juta setiap tahun bagi program pembinaan akademik serta kokurikulum dengan pelbagai modul latihan seperti kem peperiksaan, motivasi ibadah untuk pembentukan sahsiah dan beberapa lagi program lain.

“Sehingga kini, sebanyak 1.18 juta kanak-kanak adalah ahli Kelab TaHa dan jumlah itu antara keahlian terbesar di negara ini. Saya berharap lebih ramai lagi ibu bapa yang mendaftarkan anak mereka di TH,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima pelajar terbaik, Mohamad Zul Farhan Mohamed, 19, yang memperoleh 9A dalam SPM lalu nyata berbangga dengan kejayaannya dan beranggapan ia adalah hasil dorongan yang diberikan Kelab TaHa menerusi aktiviti dilaksanakan sepanjang tahun.

Dia yang juga bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) berkata, Kelab TaHa sentiasa prihatin terhadap perkembangan akademik setiap ahlinya dan itu sangat berbeza dengan kelab lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 5:04 AM