Muhammad Izzuddin bersama anugerah yang diterimanya.
Muhammad Izzuddin bersama anugerah yang diterimanya.
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Pencapaian cemerlang dalam bidang inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa menjadi kelebihan kepada pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS) di sini, Muhammad Izzuddin Saiful Hisam, 17, apabila dinobatkan penerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Peringkat Kebangsaan 2017.

Tiga projek dihasilkan iaitu papan simen hampas tebu, polimer daripada buangan kelapa sawit dan kertas daun nanas selain pembabitan dalam orkestra sekolah sebagai pemain seruling turut menjadi kelebihan kepadanya mencapai kejayaan itu.

“Saya tidak pernah membayangkan meraih anugerah itu kerana bukan mudah bagi seseorang menerima anugerah tertinggi peringkat kebangsaan namun ternyata rezeki saya sudah tertulis.

“Walaupun tidak berpeluang mengambil anugerah itu kerana menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun saya tetap bersyukur pengorbanan dicurahkan berakhir kejayaan membanggakan,” katanya, di sini, semalam.

Majlis Penyampaian Anugerah Kokurikulum Peringkat Kebangsaan 2017 diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, pada 9 November lalu dengan 27 anugerah membabitkan pelbagai kategori pelajar, pasukan beruniform, guru, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pusat kokurikulum.

Muhammad Izzuddin yang mendapat 9A dalam peperiksaan percubaan SPM berkata, tiga projek dihasilkan itu pernah bertanding di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan pencapaian terbaik apabila kertas daripada daun nanas mendapat pingat emas serta anugerah khas pada pertandingan di Thailand awal tahun ini.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, kejayaan menerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum melayakkannya memperoleh sijil penghargaan dan piala.

“Saya pelajar kedua SEMSAS menerima anugerah ini.

“Tahun ini tahun gemilang apabila saya turut menerima Anugerah Gemilang Akademik sempena Bulan Kebajikan Negara 2017, pencapaian itu membolehkan saya menerima sijil penghargaan, piala dan RM2,000.

“Di peringkat negeri saya turut menerima Anugerah Cemerlang Kokurikulum Sekolah Menengah 2017 kategori lelaki, tiga anugerah peringkat kebangsaan dan negeri yang diterima tahun ini menjadi penutup kepada era persekolahan peringkat menengah,” katanya bercita-cita menjadi doktor pakar.

Dia yang juga ketua pelajar lelaki dan pengawas sekolah berkata, untuk berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum seseorang itu perlu bijak membahagikan masa selain memberikan sepenuh tumpuan ketika guru mengajar dalam kelas.

Katanya, ketika masa terluang latihan bersama pasukan orkestra sekolah dilakukan terutama sebagai persiapan mengadakan persembahan di dalam dan luar negara apabila orkestra SEMSAS sebelum ini mengadakan persembahan di Singapura.

“Saya bercita-cita melanjutkan pengajian ke luar negara dalam bidang perubatan, saya berharap meraih keputusan cemerlang dalam SPM,” katanya yang menetap di FELDA Bukit Goh, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 8:50 AM