ADI Azuan   (empat dari kiri) menyerahkan replika cek Program Pendidikan Kelab TaHa 2017 kepada Badrulhisham   pada majlis Pelancaran Program Pendidikan Kelab TaHa 2017 di Menara TH.
ADI Azuan (empat dari kiri) menyerahkan replika cek Program Pendidikan Kelab TaHa 2017 kepada Badrulhisham pada majlis Pelancaran Program Pendidikan Kelab TaHa 2017 di Menara TH.

Kuala Lumpur: Tabung Haji (TH) melalui Kelab TaHa terus komited menjalin kerjasama dengan BH bagi menganjurkan Seminar Bimbingan Peperiksaan 2017 membabitkan seminar Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Pegawai Operasi TH, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan menggalakkan generasi muda di negara ini untuk menimba ilmu, sekali gus mampu membina sahsiah diri menerusi kaedah lebih kreatif.

Beliau berkata, meskipun berdepan persekitaran ekonomi yang serba mencabar ketika ini, TH akan terus giat mengambil bahagian dalam pelbagai program pendidikan berimpak tinggi yang dapat menyumbang kepada masyarakat terutama bagi pendeposit TH.

“Penganjuran program khususnya pendidikan bagi pendeposit TH ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan modal insan cemerlang dan berkeupayaan tinggi.

“Justeru, TH akan terus memainkan peranan dalam merealisasikan matlamat berkenaan melalui program yang dianjurkan Kelab TaHa dan usaha murni ini secara tidak langsung akan dapat melahirkan generasi mukmin yang profesional pada peringkat lebih tinggi,” katanya pada Majlis Pelancaran Seminar Bimbingan Peperiksaan TH-BH 2017, di Menara TH, semalam.

Pada majlis itu, Adi Azuan turut menyerahkan replika cek tajaan TH bernilai RM160,060 bagi Program Pendidikan Kelab TaHa 2017 kepada Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Badrulhisham Othman.

Turut hadir, Pengurus Besar Khidmat Pelanggan TH, Mohd Naser Mohd Yusoff, Pengurus Besar Bahagian Simpanan dan Pengeluaran TH, Mohd Ridzuan Wahi, Pengarang Eksekutif Berita/Rencana/Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Eksekutif Pengeluaran, Percetakan dan Digital BH, Rosli Safar.

Sementara itu, Badrulhisham berkata, kerjasama strategik TH-BH sejak 2008 itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memanfaatkan pelajar secara keseluruhan.

“Tahun 2017 adalah cukup istimewa bagi BH kerana kami akan meraikan ulang tahun ke-60 sama seperti Malaysia yang akan meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-60 tahun ini.

“Sebagai syarikat media yang prihatin dalam bidang pendidikan, BH akan terus menganjurkan pelbagai program pendidikan yang menjadi sebahagian daripada program CSR syarikat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 5:36 AM