PASUKAN   JPAM    menggunakan dron   untuk mencari bangkai helikopter yang masih belum ditemui di Sungai Batang Lupar.
PASUKAN JPAM menggunakan dron untuk mencari bangkai helikopter yang masih belum ditemui di Sungai Batang Lupar.
Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menggerakkan pasukan dron serta sonar JPAM dalam usaha menjejaki bangkai utama helikopter yang dipercayai tenggelam di dasar Sungai Batang Lupar Sri Aman, Sarawak.

Pasukan pakar membabitkan dua pegawai dan enam anggota itu dibawa ke lokasi pencarian sejak hari kejadian bagi membantu operasi mencari berikutan keadaan bentuk muka bumi mencabar.

Komandan Akademi Pertahanan Awam Malaysia, Bangi Kolonel (PA) Abdul Wahab Abdul Rahim berkata, JPAM satu-satunya agensi yang membawa kedua-dua teknologi itu ke lokasi kejadian.

“Dron digunakan JPAM mampu terbang pada ketinggian 400 meter dari permukaan sungai dan berkemampuan bergerak sejauh 2 kilometer dari lokasi ia dilepaskan dalam tempoh 45 minit.

“Kami akan berhubung dengan dron itu melalui imej dipancarkan secara langsung dari alat berkenaan ke pusat kawalan menerusi skrin televisyen. Imej berkenaan dapat membantu kami dalam usaha pencarian,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurutnya, pihaknya turut menggunakan teknologi sonar dikenali ‘Sonar Starfish Finder’ yang menggunakan sinar ultraviolet bagi memberi gambaran objek di bawah air.

“Mekanisme pengesanan objek menggunakan alat sonar berdasarkan getaran bunyi dipancarkan. Sekiranya terdapat objek terutama besi, getaran bunyi dipantulkan kembali kepada alat sonar berkenaan.

“Ia dipasang pada bot penyelamat dan dimasukkan ke dalam sungai menggunakan kaedah tunda. Sonar mampu memberikan bentuk objek dipantul walaupun tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

“Apabila terdapat gambar objek disyaki mempunyai kaitan dengan badan helikopter berkenaan, skuad penyelam akan turun ke dasar sungai untuk memastikan objek ditemui itu,” katanya.

Setakat ini pihak JPAM menemui beberapa objek besi dipercayai serpihan helikopter di Sungai Merah, Lingga, di sini, sejak operasi dilakukan bermula Jumaat lalu.

“Selain itu, JPAM juga menemui dua lagi objek besi masing-masing di Tanjung Abol, Lingga, jam 5 petang Ahad lalu dan di Sungai Pelaku dan Sungai Paur jam 5 petang Isnin lalu.

Operasi memasuki hari keempat gagal menemui bangkai helikopter serta mayat juruterbang dipercayai tenggelam di dasar Sungai Batang Lupar.

Pasukan Mencari dan Menyelamat memutuskan menggunakan pukat tunda sebagai kaedah terakhir sekiranya usaha menggunakan pelbagai teknologi moden menemui jalan buntu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 7:11 AM