Mohammad Azlin  (dua dari  kanan) bersama pegawainya  menunjukkan peralatan yang digunakan sindiket  di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.
Mohammad Azlin (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan peralatan yang digunakan sindiket di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.
Mohd Hasbi Sidek


Subang Jaya: Curi lori di Lembah Klang sebelum dilelong di Ipoh, Perak menjadi modus operandi sindiket curi kenderaan berat dikenali sebagai Geng Kugan.

Sindiket terdiri daripada lapan individu itu mempunyai kepakaran selain setiap seorang memainkan peranan mengikut kemahiran masing-masing.

Bagaimanapun, sindiket itu berjaya dilumpuhkan polis selepas tujuh ahlinya ditahan di Bandar Sunway, di sini, pada 26 dan 30 April lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, seorang lelaki membuat laporan lori miliknya jenis Isuzu yang diletakkan berhampiran persimpangan lampu isyarat Lagoon Perdana, di sini, dicuri pada 24 April lalu.

“Bertindak atas laporan, polis menjalankan siasatan sebelum menahan enam lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20 dan 30 tahun yang disyaki terbabit dalam sindiket ini.

“Soal siasat mendapati mereka terbabit dengan lima kes curi lori di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini, semalam.

Menurutnya, seorang lagi ahli sindiket yang dikenali sebagai M Kugan, 30, dipercayai ketua mereka masih bebas dan sedang diburu.

“Setiap daripada mereka mempunyai kepakaran seperti menyahaktifkan sistem GPS pada lori, mematikan sistem keselamatan, meniru kunci dan menghidupkan lori.

“Terdapat juga antara mereka yang bertanggungjawab sebagai pemandu manakala selebihnya menjadi pemantau dan pemandu arah. Kugan difahamkan bertindak sebagai ketua yang memberikan arahan lokasi lori yang dicuri akan dihantar.

“Pemeriksaan mendapati semua suspek kecuali wanita mempunyai rekod jenayah membabitkan kes samun, curi kenderaan, mendatangkan kecederaan dan curi bangunan,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Wanita itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas didapati hanya teman wanita kepada seorang daripada suspek,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 7:08 AM