PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menggaul `Yee Sang’ ketika Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2016 anjuran Kementerian Perlancongan dan Kebudayaan Malaysia di Dataran Sibu. FOTO Khairull Azry Bidin
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menggaul `Yee Sang’ ketika Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2016 anjuran Kementerian Perlancongan dan Kebudayaan Malaysia di Dataran Sibu. FOTO Khairull Azry Bidin
Shamran Sarahan

Sibu: Masyarakat Cina perlu ubah pendirian politik dan memberikan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri ke-11 bagi membentuk kerajaan negeri yang kukuh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata keadaan itu sekali gus dapat membantu misi BN meneruskan agenda pembangunan dan sosio-ekonomi di Sarawak.

Beliau berkata, masyarakat Cina di Sarawak perlu mengubah pendirian politik mereka dan memberikan sokongan penuh terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

"Sokongan itu penting bagi membolehkan 'pasukan Adenan' meneruskan perjuangan hak dan kepentingan rakyat negeri ini, termasuk komuniti Cina.

"Jika masyarakat Melayu, Iban, Melanau dan semua kaum di Sarawak, termasuk masyarakat Cina dapat memberikan sokongan kepada BN, ia akan membolehkan kita membentuk kerajaan negeri yang kuat dan stabil.

“Ini seterusnya memudahkan kerjasama antara Kerajaan Pusat dan negeri," katanya ketika berucap sempena Sambutan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina, di sini, malam tadi.

Turut hadir Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Najib berkata, beliau komited untuk membawa pembangunan di Sarawak supaya warganya tidak tersisih daripada kemajuan sebagaimana yang dinikmati di semenanjung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 12:00 AM