Mohd Roji Kawi

Kuching: Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung isu Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC).

Timbalan Perdana Menteri berkata, pertemuan itu bagi membolehkan beliau mendapatkan penjelasan apakah alasan di sebalik keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mengiktiraf sijil berkenaan.

Menurutnya, pada masa yang sama beliau mahu menjelaskan kepada Fadhlina mengenai pendekatan kerajaan Sarawak berhubung isu sama.

"Fadhlina sudah menjawab di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa KPM tiada rancangan untuk mengiktiraf UEC sebagai sebahagian silibus kebangsaan.

"Saya akan berbincang dengan beliau, cuma hendak mengetahui apa rasional di sebalik keputusan itu," katanya kepada media selepas menghadiri program 'Juh Bekpes Bersama Belia-Belia 1828 Petra Jaya di Metro City, Matang di sini, hari ini.

FADILLAH (tiga kiri) bersama isteri, menghadiri 'Juh Bekpes' Bersama Belia-Belia 1828 Petra Jaya, di King Laksa Metrocity, Matang. FOTO Nadim Bokhari
FADILLAH (tiga kiri) bersama isteri, menghadiri 'Juh Bekpes' Bersama Belia-Belia 1828 Petra Jaya, di King Laksa Metrocity, Matang. FOTO Nadim Bokhari

Fadillah berkata, kerajaan terdahulu pernah membuat keputusan untuk mengiktiraf UEC dengan syarat pihak pengurusan sekolah persendirian Cina menerima silibus kebangsaan seperti mata pelajaran Sejarah.

"Ini bermakna masih ada ruang untuk kita berbincang dengan pihak terbabit berhubung isu UEC ini," katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata, beliau berhasrat untuk menubuhkan sebuah pusat latihan khusus bagi menggilap bakat kepimpinan kalangan belia di kawasan Parlimen Petra Jaya.

"Kalau ada kemampuan, saya memang berhasrat untuk mewujudkan sebuah pusat latihan khusus bukan hanya untuk kita mendidik belia sebagai pewaris kepimpinan dalam politik tetapi sebagai pemimpin dalam sektor awam, korporat mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Harapan saya, semoga pusat latihan itu dapat direalisasikan dalam penggal ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 12:34 PM