BERNAMA

Kuching: Jalinan hubungan dan kerjasama baik Tan Sri Adenan Satem dengan masyarakat Cina meningkatkan tahap keyakinan masyarakat serta pemimpin perniagaan kaum berkenaan di Sarawak.

Malah, seorang daripada mereka meramalkan Tok Nan, yang dipanggil mereka, mampu menawan lima kerusi di kawasan bandar pada pilihan raya negeri (PRN) 7 Mei ini - empat lagi kerusi berbanding satu kerusi yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) pada 2011.

Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Masyarakat Cina Kuching, Dr Chou Chi Ming berkata masyarakat Cina sudah melalui perubahan dalam pemikiran politik di bawah kepemimpinan Adenan dengan kebanyakan mereka melihat beliau sebagai ‘Ketua Menteri untuk semua rakyat Sarawak’.

Beliau sudah melaksanakan semua janjinya untuk manfaat rakyat Sarawak. Semua dasar beliau untuk kebaikan rakyat Sarawak dan bukan bagi kumpulan kecil kroni..

“Beliau adil dan kerajaan negeri di bawah beliau bersih, adil dan cekap. Banyak pengundi Cina merasakan dasar politik dan ekonomi beliau adalah untuk membawa kembali masyarakat Cina di Sarawak dalam arus perdana politik,” kata Dr Chou

Beliau berkata, BN Negeri di bawah Tok Nan, mampu merampas kembali lima kerusi di kawasan bandar namun enggan menamakan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Dr Chou adalah bekas presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.

Daripada 15 kerusi majoriti kaum Cina yang dipertandingkan pada pilihan raya kali ini, hanya Bawang Assan dimenangi BN pada 2011. DAP akan mempertahankan 12 kerusi manakala PKR satu.

Satu lagi adalah kerusi baharu yang diwujudkan di Batu Kitang yang akan ditandingi oleh PKR.

Temenggong Lu Kim Yong, pemimpin masyarakat Cina yang berpengaruh di Kuching, berkata Adenan bukan sahaja menangani isu kritikal mengenai pendidikan kaum Cina dengan memberi geran kepada sekolah menengah persendirian Cina dan pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), tetapi juga membuatkan komuniti perniagaan berasa gembira dengan dasar pertumbuhan beliau.

“Beliau memberikan kita perasaan yang sangat selesa. Beliau berfikiran luas, sangat bertimbang rasa dan sedar akan kepentingan semua kaum,” katanya.

“Beliau berkhidmat dalam kerajaan selama bertahun-tahun dan sejak mengambil alih jawatan (sebagai ketua menteri) dua tahun lepas, Tok Nan sudah melakukan begitu banyak untuk masyarakat. Semua ini memberi kelebihan kepada BN pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya.

Kenyataan Adenan bahawa ‘orang Cina bukan pendatang’ menyentuh kaum Cina kerana masyarakat itu sudah berada di negara ini bertahun-tahun, kata Lu, yang juga Naib Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak.

Cabaran BN pada PRN kali ini untuk kerusi majoriti kaum Cina diketuai oleh parti komponen, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan calon langsung, yang keluar daripada UPP iaitu serpihan SUPP untuk bertanding di bawah lambang BN.

Seorang ahli perniagaan, yang mengetuai persatuan perniagaan Sarawak, berkata Adenan boleh menjangka lebih banyak sokongan daripada masyarakat berkenaan.

“Beliau melayan kaum Cina dengan baik. Sebelum ini, sekolah Cina tidak pernah diberi apa-apa peruntukan. Terus-terang, ia satu kerugian bagi masyarakat Cina jika tiada wakil Cina yang kuat dalam kerajaan negeri,” kata ahli perniagaan itu yang tidak mahu dikenali.

Seorang ahli perniagaan di kubu kuat DAP di Padungan, berkata peningkatan sokongan itu, bagaimanapun, mungkin belum mencukupi bagi mengalihkan pengundi Cina terhadap BN kerana pengundi muda cenderung memihak kepada pembangkang.

“Secara peribadi, pertama saya akan melihat kepada calon dan kemudian apa sumbangan beliau. Saya berharap SUPP tidak akan tewas semua kerana kita juga perlu SUPP,” katanya yang tidak mahu namanya disiarkan. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 5:04 AM