Adenan melawat bilik darjah SJK Chung Hua No 1 di Kuching, hari ini. FOTO Che Rani Che Din
Adenan melawat bilik darjah SJK Chung Hua No 1 di Kuching, hari ini. FOTO Che Rani Che Din
Oleh Abd Rahman Adam

Kuching: Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, menegaskan mahu pelajar Cina di Sarawak yang memiliki Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) diterima masuk di Universiti Awam (UA) di negeri ini, bukan setakat di universiti swasta sahaja.

Justeru katanya, beliau mahu Kementerian Pengajian Tinggi menimbang pelajar Cina Sarawak yang memiliki sijil itu diterima masuk ke UA di negeri ini.

"Tindakan ini perlu dilakukan kerana kerajaan negeri sudah mengiktiraf UEC.

"Jadi, saya akan berunding dengan pihak berkenaan di peringkat Pusat untuk merealisasikan perkara ini, bukan sebab pilihan raya tetapi ia adalah tindakan betul untuk dilakukan kepada masyarakat Cina,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan bangunan baharu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Chung Hua No 1, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Adenan turut mengumumkan bantuan kerajaan negeri berjumlah RM500,000 kepada sekolah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 4:27 PM