Norizuan Shamsuddin dan Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


Subang Jaya: Wanita warga Indonesia yang melarikan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, awal pagi kelmarin dikesan cuba menginap di sebuah hotel, namun gagal berikutan suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Berikutan itu, suspek berusia awal 20-an itu ‘hilang arah’ sebelum mengambil keputusan berehat di kawasan Masjid Ar Rahman, Jalan Pantai, bersama mangsa yang juga penghidap Disleksia.

Bagaimanapun, kehadiran suspek bersama mangsa di pekarangan masjid itu disedari kariah dan pengawal keselamatan di masjid berkenaan pada jam 9.30 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, kariah masjid berjaya mengenal pasti wajah dan identiti mangsa dan suspek berdasarkan gambar tersebar di laman sosial.

“Mangsa dilihat berkeliaran bersama suspek di masjid itu sebelum ditahan. Suspek dan mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis di Balai Polis Pantai sebelum diserahkan kepada polis Subang Jaya,” katanya pada sidang media di Balai Polis Subang Jaya, di sini.

Menurutnya, siasatan polis mendapati suspek berasal dari Sumatera, Indonesia, dan memasuki negara ini secara sah.

Katanya, suspek dibenarkan untuk menginap di kediaman keluarga mangsa sejak 5 April lalu.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut. Motif mangsa dilarikan suspek masih lagi disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 7:43 AM
SUBANG JAYA 19 APRIL 2016. Kanak-kanak penghidap disleksia, Putri Nurkyra Izam Abdullah, 11, yang dilarikan seorang wanita Indonesia awal pagi semalam, ditemui selamat malam tadi.
SUBANG JAYA 19 APRIL 2016. Kanak-kanak penghidap disleksia, Putri Nurkyra Izam Abdullah, 11, yang dilarikan seorang wanita Indonesia awal pagi semalam, ditemui selamat malam tadi.