PENTERNAK ikan, Amir Hashim melihat kolam ternakan ikan di Kampung Pandan Dua yang kering akibat cuaca panas luar biasa.
PENTERNAK ikan, Amir Hashim melihat kolam ternakan ikan di Kampung Pandan Dua yang kering akibat cuaca panas luar biasa.
Amir Hamzah Nordin


Jerantut: Cuaca panas berterusan turut memberi kesan terhadap kenaikan mendadak harga ikan air tawar dari Sungai Tembeling, di sini.

Tinjauan mendapati harga ikan kelah merah naik mendadak RM450 hingga RM500 sekilogram berbanding RM380 sekilogram sebelum ini.

Turut menerima tempias kenaikan harga adalah ikan kelah putih iaitu RM320 sekilogram berbanding RM280 sebelum ini di pasaran Taman Negara Kuala Tahan dan bandar ini.

Malah, spesies ikan patin muncung yang popular untuk masakan gulai tempoyak turut mengalami kenaikan iaitu RM320 sekilogram, patin buah (RM120), jelawat (RM250) dan kerai kuning (RM100) iaitu kenaikan antara RM20 hingga RM50 sekilogram.

Spesies lain turut mengalami kenaikan harga adalah temoleh (RM80), lampam (RM30) dan lawang (RM45) dengan kenaikan antara RM10 hingga RM30 sekilogram.

Nelayan Sungai Tembeling, Adenan Nipah, 48, berkata faktor cuaca panas menyebabkan air sungai surut hingga menyebabkan mereka sukar menangkap ikan spesies berkenaan sekali gus berlaku kekurangan bekalan di pasaran.

“Semua kawasan menjadi cetek dan kami sukar menangkap ikan. Kawasan lubuk yang cetek menyebabkan penggunaan petrol bertambah selain alat ganti kipas bot kerap rosak.

“Kami tidak dapat menggunakan jaring hanyut dan menjala kerana peralatan itu kerap tersangkut di celah batu yang menjadi tempat spesies itu bersembunyi ketika air surut,” katanya, semalam.

Rakannya, Shahradin A Karim, 48, berkata mereka cuma bertumpu ke kawasan lubuk pada sebelah malam hingga menjelang pagi untuk menangkap ikan kerana kawasan sungai sudah ditimbuni pasir akibat air surut.

“Kami tidak mampu turun berjemur di atas bot gentian kaca semata-mata untuk menjala dan menahan jaring kerana cuaca amat panas pada sebelah siang,” katanya.

Sementara itu, penternak ikan sangkar di Kampung Jerantut Feri Azman Zainuddin, 46, berkata, suhu air yang panas mengakibatkan banyak ikan sangkar mati terutama talapia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2016 @ 5:15 AM