NAJIB bersama dari kiri, Abdul Rahman, Abdul Mutalib, Moggie dan Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Rahman melihat dokumen perjanjian pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Jual Beli Tanah PRIMA dan TNB  di Parlimen, semalam.
NAJIB bersama dari kiri, Abdul Rahman, Abdul Mutalib, Moggie dan Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Rahman melihat dokumen perjanjian pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Jual Beli Tanah PRIMA dan TNB di Parlimen, semalam.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Skim pembiayaan deposit rumah pertama (MyDeposit) seperti diumumkan dalam pembentangan Bajet 2016 mula dilaksanakan berkuat kuasa, semalam.

Perkara itu antara yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Perumahan Negara (MPN), semalam yang membincangkan mekanisme pelaksanaan beberapa inisiatif dalam pemilikan rumah untuk rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, MyDeposit bertujuan membantu golongan berpendapatan sederhana (M40) iaitu mempunyai pendapatan isi rumah antara RM3,000 hingga RM10,000.

Menurutnya, kerajaan juga menyumbang 10 peratus daripada harga jualan atau maksimum RM30,000 (mana lebih rendah) kepada pembeli rumah pertama untuk membantu mereka membeli rumah berharga RM500,000 ke bawah.

“Permohonan boleh dibuat atas talian untuk skim ini mulai esok (hari ini) melalui laman web Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Pemberian 10 peratus daripada harga jualan atau maksimum RM30,000 (yang mana lebih rendah) adalah dalam bentuk geran daripada pihak kerajaan.

“Keduanya, mesyuarat juga memutuskan penjualan rumah berharga sehingga RM300,000 hanya untuk pembeli rumah pertama seperti diumum.

“Pengubahsuaian Bajet 2016 akan mula dilaksanakan mulai bulan ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN Siri 4, Bilangan 1 Tahun 2016, di sini, di Parlimen, semalam.

Turut hadir, Menteri KPKT Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Timbalannya Datuk Halimah Mohamed Sadique, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tan Sri Leo Moggie dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Abdul Mutalib Alias.

Perdana Menteri berkata, bagi menggalakkan pemaju swasta membina lebih banyak rumah berharga sehingga RM300,000, KPKT menetapkan beberapa insentif antaranya nilai deposit kekal RM200,000 bagi rumah berharga RM300,000 ke bawah dan kadar semasa nilai deposit adalah tiga peratus daripada anggaran kos pembinaan.

Katanya, bagi pembangunan bercampur, nilai deposit adalah berasaskan baki penjualan rumah berharga yang melebihi RM300,000.

“MPN juga mengambil maklum dua perkara iaitu status pelaksanaan sejuta rumah mampu milik menjelang 2018. Setakat 31 Disember lalu, sebanyak 17 peratus atau 183,755 unit rumah siap dibina, 19 peratus atau 214,011 unit dalam pembinaan dan 28 peratus atau 309,571 unit dalam pelbagai peringkat perancangan.

“Pelaksanaan inisiatif ini membabitkan usaha pelbagai pihak daripada pelbagai peringkat Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 8:31 AM