PEMBELI berpotensi mendapatkan maklumat hartanah pada MAPEX 2016, semalam.
PEMBELI berpotensi mendapatkan maklumat hartanah pada MAPEX 2016, semalam.
Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Kerajaan yakin dapat mencapai sasaran untuk membina satu juta unit rumah mampu milik menjelang 2018 memandangkan kini kira-kira 80 peratus rumah terbabit sudah siap dibina oleh pelbagai agensi.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya juga hampir mencapai kuota penyediaan rumah mampu milik dengan pembinaan sebanyak 9,850 unit rumah pada tahun depan.

Katanya, penyediaan rumah mampu milik ini adalah daripada Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) iaitu sebanyak 500,000 unit, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) (60,789 unit), kerajaan negeri (128,743 unit) dan sektor swasta sebanyak 150,000 unit.

Beliau ditemui pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Harta Tanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX) 2016, di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Datuk Seri FD Iskandar dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur MAPEX 2016 Datuk Ng Seing Liong.

Pada pembentangan Bajet 2017, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa kerajaan melalui KPKT akan membina 9,850 unit rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat dengan peruntukan sebanyak RM134 juta pada tahun depan.

Beliau turut mengumumkan pengecualian duti setem dinaikkan kepada 100 peratus ke atas surat cara pindah milik dan surat cara pinjaman perumahan bagi membantu mengurangkan kos pemilikan rumah pertama berbanding 50 peratus pada masa ini dan ia hanya terhad kepada nilai rumah sehingga RM300,000 saja.

Mengulas perkara itu, FD Iskandar berkata, beliau berharap had nilai rumah bagi pengecualian duti setem itu boleh dikaji semula oleh kerajaan dengan menaikkan had nilai sehingga RM500,000 supaya lebih realistik dengan keadaan pasaran rumah semasa.

“Kita berterima kasih dengan kerajaan yang memperkenalkan langkah ini tetapi perkara ini diharap dapat dikaji dengan secara realistiknya agak sukar untuk mendapatkan rumah berharga RM300,000 di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

“Jika boleh nilai itu dinaikkan kepada RM500,000 dan saya percaya lebih ramai lagi ahli REHDA akan membina rumah mampu milik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2016 @ 5:17 AM